Ummi Nazera

KUALA LUMPUR – Pelakon Ummi Nazera yang baharu sahaja mendirikan rumahtangga dengan Mohd Izzar menjelaskan dia kerap bertengkar dengan suaminya.

Ummi yang melangsungkan majlis pernikahan 23 Julai lalu memberitahu dia dan suaminya bertengkar hampir setiap hari.

“Kami selalu sangat bergaduh. Sampai emak pun selalu tanya kenapa kami selalu gaduh.

“Tapi gaduh tak lama la. Pagi gaduh malam dah ok.

“Kami gaduh sebenarnya sebab cara percakapan. Cara dia cakap lain, cara kita lain. Intonasi dia kadang-kadang kasar,” jelas Ummi sambil tertawa manja.

Bagaimanapun dia menjelaskan selepas bertengkar mereka kembali seperti biasa dan seolah-olah tidak berlaku pertengkaran.

Selain itu Ummi menjelaskan dia kini sedang meniti kebahagian bersama suaminya.

Sebagai isteri Ummi memberitahu dia menguruskan suaminya sendiri meskipun mempunyai pembantu rumah.

Selain menyediakan makanan, Ummi turut menyiapkan pakaian buat suami setiap hari.

Bercerita tentang perkembangan terkini Ummi bakal menemui peminatnya dengan sebuah filem terbaru berjudul Bisik Pada Langit.

Filem dengan tema kekeluargaan itu merupakan arahan Khabir Batia.

Antara pelakon lain yang turut membintangi filem ini termasuklah Beto Kusyairi, Jalil Hamid dan Erwin Dawson.

Filem terbitan Filmscape dan Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. dengan edaran Astro Shaw akan menemui penonton Khamis ini. – MalaysiaGazette