KUALA LUMPUR- Pelakon Sharnaaz Ahmad Ahmad Bazir Ahmad,32 didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana menumbuk muka seorang pekerja kelab golf.

Sharnaaz turut diperintah menjalani hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Perintah dikeluarkan majistret Mahyuddin Mohammad Som setelah pelakon berkenaan mengaku bersalah.

Pelakon filem Juvana dan Gila Baby itu mengaku bersalah sengaja mendatangkan kecederaan dengan menumbuk muka Gous Ali.

Kesalahan dilakukan di Tingkat 1, TPC KL di Kuala Lumpur Golf Club (KLGCC), Taman Tun Dr Ismail jam 5.30 petang pada 22 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farah Adila Noordin mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sharnaaz melalui peguamnya, Zulkifli Awang merayu memberi hukuman ringan atas alasan telah insaf dan sudah memohon maaf kepada pengadu – Malaysia Gazette