KUALA LUMPUR – Trio adik-beradik, akan mengadakan persembahan di Istana Budaya bersempena sambutan 25 tahun kumpulan berkenaan di pentas berprestij itu, tahun depan.

Konsert selama tiga hari yang diberi nama KRU25 itu dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 6 Mei 2018.

Anggotanya yang juga Penerbit Eksekutif konsert, Datuk Norman Abdul Halim berkata, mereka sudah lama mengidamkan untuk menganjurkan konsert di pentas berkenaan namun KRU menunggu masa yang sesuai untuk mementaskan perjalanan seni kumpulan itu menerusi persembahan berskala besar.

“Selain lagu popular KRU dari era 90-an hingga kini, KRU25 di Istana Budaya juga cukup istimewa dan berbeza daripada konsert KRU yang lain. Ia turut disampaikan melalui penceritaan walaupun majoriti segmen persembahan tetap berbentuk nyanyian seperti konsert bagi mengembalikan kenangan dan nostalgia peminat kumpulan ini, dari dulu hingga kini.

“Istana Budaya pula dipilih kerana ia amat sesuai dengan konsep persembahan yang ingin kami sampaikan. Selain pentas, sistem bunyi dan penataan cahaya yang dinaik taraf, suasana eksklusif di pentas terbabit juga akan memberi keselesaan kepada penonton bagi menghayati konsert selama dua jam itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Biarpun KRU25 hanya akan diadakan sekitar tujuh bulan dari sekarang, katanya, mereka membuat keputusan untuk mengumumkan tarikh terbabit lebih awal berikutan ramai peminat KRU sudah lama menantikan pengumuman berkenaan.

“Kami juga mengumumkan penganjuran konsert itu sekarang bagi memastikan peminat yang berada di luar Lembah Klang dan di luar negara dapat membuat persediaan awal,” katanya.

Sambutan KRU25 bermula sejak Ogos 2016 apabila KRU mengadakan konsert di Esplanade, Singapura yang menyaksikan semua tiket habis dijual.

Tidak lama lagi, kumpulan yang turut dianggotai oleh Edry dan Yusry Abdul Halim itu bakal mengeluarkan single terbaru, yang akan turut dimuatkan dalam album kompilasi KRU25. Ia bakal dikeluarkan dalam bentuk digital, CD, DVD dan Vinyl.

KRU juga kini dalam proses penerbitan sebuah Rockumentary mengenai pembabitan mereka dalam dunia seni sejak 1992.

Tempahan tiket boleh dilakukan dengan menghubungi talian 03-22760038 atau menghantar e-mel ke alamat [email protected] mulai hari ini.

Tiket konsert berkenaan dijual pada harga RM158 tidak termasuk GST. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast