KUALA LUMPUR – Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) merancang untuk memperkenalkan dua lagi model hasil kerjasamanya dengan Bajaj Auto Limited (BAL) India pada suku pertama 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif, Amirudin Abd Kadir berkata selain motosikal “sports tourer” Dominar 400cc yang hampir pasti disahkan untuk diperkenalkan, Modenas juga bercadang menawarkan motosikal utiliti – Boxer 150cc – kepada pasaran Malaysia.

“Segmen baharu “street bike” dijangka meningkatkan jualan dan bahagian pasaran Modenas pada masa depan,” katanya kepada Bernama di luar pertemuan pengedar Bajaj-Modenas di ibu pejabat BAL di Pune, India minggu lepas.

Sebanyak 35 pihak pengedar Modenas dan institusi kewangan, serta 20 wakil media daripada 19 organisasi media Malaysia berada di India minggu lepas untuk melawat kilang dan mendapatkan pandangan lebih jelas mengenai operasi BAL serta uji pandu beberapa motosikal generasi terkini Bajaj.

Rangkaian Dominar, yang diletakkan sebagai “sports tourer” oleh BAL, disasarkan menerajui segmen 250cc-500cc, manakala Boxer dipaparkan sebagai jentera menjimatkan yang dibuat kukuh serta mampu bertahan lama.

“Sama ada kami akan membawa masuk Boxer atau tidak (ke pasaran Malaysia), ia tertakluk kepada kajian selanjutnya mengenai permintaan pasaran, sama ada terdapat permintaan bagi motosikal itu di Malaysia atau sebaliknya,” katanya.

Selepas kejayaan usaha sama dengan jenama skuter Taiwan, Kymco, Modenas telah bergandingan dengan BAL sejak April lepas dengan harapan agar teknologi terbukti milik syarikat India dalam pembuatan motosikal itu akan membantunya mengeluarkan motosikal yang kukuh dan boleh dipercayai selain menarik dari segi harga.

BAL merupakan pembuat motosikal ketiga terbesar dunia selain pembuat motosikal tiga roda terbesar di peringkat global. Ia juga merupakan pengeksport motosikal dan motosikal tiga roda nombor satu India.

BAL mengeksport produknya ke 78 negara di Amerika Latin, Afrika, Asia Selatan, Asia Barat dan Asia Pasifik.

Kerjasama BAL-Modenas telah membawa masuk tiga model Bajaj ke dalam segmen jalanan Malaysia sejak Mei, iaitu V15 (café racer), Pulsar NS 200 (naked street) dan Pulsar RS 200 (racer sport), masing-masing pada harga kasar RM5,650, RM8,700 dan RM10,700.

Bagi Dominar 400cc dan Boxer 150cc, penganalisis automotif dan media menjangkakan hargajualan kasar bagi Malaysia adalah masing-masing di bawah RM20,000 dan RM6,000 seunit.

Motosikal Bajaj yang dibawa masuk adalah pemasangan tempatan dari India memandangkan​​​​​​​ BAL tidak ​​​​​​mempunyai hab Asia Tenggara, namun Amirudin berkata, rancangan sedang dilaksanakan melalui kerjasama Modenas-BAL untuk membuka jaluran pemasangan di kilang di Gurun, Kedah.

Kilang di Gurun itu, milik Modenas, ketika ini beroperasi pada kapasiti pengeluaran tahunan 50,000 unit motosikal.

Kapasiti pengeluaran tahunan penuh dengan 120,000 unit motosikal boleh dioptimumkan lagi kepada 200,000 unit melalui pelarasan semula serta penyumberan luar beberapa proses seperti pengecatan.

Amirudin berkata, 2,000 unit motosikal dari rangkaian semasa Bajaj telah dijual secara terkumpul di Malaysia sejak pelancaran pada Mei dan mencecah 35 peratus penguasaan pasaran dalam segmen “street bike” 150cc-200cc pada September.

Berdasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) dua roda di Malaysia kira-kira pada purata 450,000 unit, beliau berkata, Modenas mungkin mencatat penguasaan pasaran sebanyak sembilan peratus atau ​​​​​​​lebih 51,000 unit dalam TIV daripada jualan segmen “moped”, skuter dan “street bike” baharu.

Beliau berkata, Modenas menyasarkan untuk memperolehi 13 peratus hingga 14 peratus penguasaan pasaran dalam TIV pada 2018, yang mungkin bersamaan kira-kira 70,000 unit, termasuk jualan motosikal​​​​​​​Bajaj.

Segmen “moped” atau motosikal berkuasa rendah telah menyumbang bahagian terbesar ​​​​​​​penguasaan pasaran Modenas kepada TIV, katanya, dengan menambah, kajian menunjukkan penunggang motosikal Malaysia yang membeli “moped” cenderung menggunakan bekas simpanan tambahan pada motosikal untuk kemudahan mereka.

“Bagaimanapun kami perlu mengugurkan tiga model “moped” tahun ini disebabkan peraturan Euro 3. Kami berharap model “street bike” baharu yang ditawarkan Modenas dapat mengubah minat rakyat Malaysia daripada “moped” kepada “street bike”. Ini adalah cabaran kepada kami,” katanya.

Syarikat motosikal nasional Malaytsia itu memperuntukkan RM4 juta sebagai perbelanjaan modal bagi penjenamaan dan ketampakan model motosikalnya untuk dua tahun mulai tahun kewangan semasa berakhir 3 Mac, 2017.

Ekuiti Modenas dimilik oleh DRB-Hicom Bhd (81 peratus) dan Kawasaki Heavy Industries (19 peratus), manakala motosikal itu diedarkan oleh anak syarikat milik penuhnya, Edaran Modenas Sdn Bhd.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast