Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos (tengah) dibawa menaiki black maria untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos hari ini mempertahankan tindakannya kerana membantah penganjuran Pesat Arak 2017 di negeri itu.

Ketika ditemui wakil media di ruang legar Mahkamah Majistret di sini Jamal mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak melayan kehendak DAP.

“Perkara yang tidak berfaedah dan bermoral ini sepatutnya jangan dipolitikkan. Jadi saya berharap kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali jangan tunduk dengan tekanan DAP.

“Apa yang saya lakukan ini untuk memastikan kerajaan negeri membatalkan hasrat mereka untuk membenarkan penganjuran Pesta Arak 2017 di Selangor,” katanya sebelum dihadapkan ke Mahkamah Majistret.

Jamal bersama tujuh pengikutnya awal pagi tadi dalam insiden memecahkan lebih 100 botol arak, beliau hari ini mempertahankan tindakannya kerana membantah penganjuran Pesat Arak 2017 di negeri itu.

Penangkapan Jamal dan tujuh pengikutnya kira-kira 1.45 pagi tadi di sekitar Sekinchan dan Sabak Bernam gara-gara tindakannya memecahkan lebih 100 botol arak di pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor semalam.

Menurut peguam Jamal, Datuk Imran Tamrin, Jamal dan tujuh lagi anak guamnya dibawa ke Mahkamah Shah Alam hari ini untuk mendapatkan perintah reman kira-kira jam 11 pagi tadi dan kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Jamal berkata, penangkapan ke atas beliau dan pengikut-pengikutnya sama sekali tidak melunturkan semangat mereka untuk membantah penganjuran pesta maksiat itu di Selangor.

“Perjuangan akan tetap kami teruskan untuk terus supaya pesta arak ini terus diharamkan atau dibatalkan dan jangan dibuat di bumi Selangor ini,” tegasnya.

“Sebab itulah saya datang semalam dengan membawa satu mesej iaitu minum arak ini tiada faedah langsung melainkan menyebabkan gelaja sosial kepada masyarakat kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast