Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Jamal Md. Yunos memecahkan botol arak di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor disifatkan biadap dan tidak sopan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan ala samseng Pengerusi NGO Malaysia itu merosakkan harta awam bertentangan dengan amalan demokrasi.

Katanya, demonstrasi sememangnya hak setiap rakyat tetapi ia perlu dianjurkan secara aman dan mematuhi etika ditetapkan pihak berkuasa.

“Pakatan Harapan menganjurkan demonstrasi kerana itu hak rakyat untuk berhimpun tetapi kita sama sekali tidak boleh terima jika individu atau kumpulan menggunakan cara samseng seperti ini,” katanya lapor sebuah laman portal hari ini.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada pemberita selepasĀ  menyempurnakan Majlis Penyerahan Notis 5A dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat di Sabak Bernam di sini, hari ini.

Timbalan Presiden PKR itu percaya polis akan meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.

“Saya difahamkan kertas siasatan sudah dibuka, maka kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan. Namun untuk persepsi umum, tindakan Jamal itu sama sekali biadap dan tidak sopan,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmad berkata, pihaknya menahan Jamal dan tujuh individu lain selepas menerima laporan kejadian daripada pengawal keselamatan.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Kesiksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku dilakukan peserta perhimpunan.

Jamal ditahan kira-kira jam 1.45 pagi tadi di Sekinchan dan polis telah mendapatkan perintah reman terhadapnya bersama pengikut yang lain untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette