Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KOTA BHARU – Pembangunan Islam di negara ini yang diperkasakan dari semasa ke semasa menjadi petunjuk bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak lari daripada tanggungjawab menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata rakyat malah di negara luar dapat melihat perkembangan pembangunan Islam yang berlaku dalam tempoh 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan dan perkara itu berlaku kerana kebijaksanaan pemerintahan kerajaan BN yang ditunjangi UMNO.

“Usaha kerajaan dalam mendaulatkan agama dapat dilihat melalui perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya semasa menjadi panel pada program Bicara Minda dan Sesi Dialog Perjuangan For All Peringkat Negeri Kelantan di sini, malam tadi.

Turut menjadi panel pada program yang dikendalikan Datuk Dahlan Maamor sebagai moderator ialah Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa yang juga Anggota Parlimen Ketereh.

Asyraf Wajdi berkata ia juga membolehkan kerajaan memperuntukkan sejumlah kewangan untuk pembangunan Islam dan disusuli pelbagai program dan peruntukan berterusan sehingga kini.

Katanya setakat ini terdapat hampir 500 sekolah agama dan kelas-kelas aliran agama dengan 59,000 guru pendidikan Islam selain itu terdapat 3,600 guru takmir, 14,560 imam dan 32,500 guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa).

“Pada tahun ini, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM987 juta untuk sektor pendidikan Islam di bawah Kementerian Pendidikan manakala melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diperuntukan RM559 juta termasuk untuk bayaran gaji guru-guru takmir, Kafa dan imam-imam di seluruh negara,” katanya.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi membidas pembangkang yang terus mencanangkan Malaysia sebuah negara sekular dan kerajaan BN tidak mendaulat agama Islam.

Beliau berharap rakyat tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang yang hanya mementingkan label atau slogan tetapi tiada tindakan yang berkesan terhadap perkembangan syiar Islam.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Annuar berkata setakat ini, agenda Islam yang hendak dilaksanakan tidak mendapat sokongan Pakatan Harapan yang dikuasai oleh DAP seperti dalam isu membantah penganjuran pesta arak dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Beliau berkata DAP tidak berminat untuk memartabatkan syiar Islam di negara ini kerana ia bercanggah dengan perjuangan parti tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata saf kepimpinan UMNO kini semakin mantap khususnya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 walaupun terdapat usaha daripada pihak tertentu untuk melemahkan parti tersebut.

“Setakat ini, saya sudah pergi ke lebih 100 bahagian UMNO dan anggota akar umbi komited dengan perjuangan UMNO dan kita tidak membenarkan sebarang usaha untuk pecahbelahkan sesama kita,” katanya. – BERNAMA