Khimar atau tudung labuh keluaran Effira Exclusive kini semakin menjadi pilihan golongan muslimah.

KUALA LUMPUR – Tidak mahu ketinggalan mencipta fenomena tersendiri, Effira Exclusive kini muncul sebagai satu jenama fesyen muslimah bagi memeriahkan lagi industri fesyen tanah air.

Justeru, tercetuslah idea menghasilkan rangkaian koleksi khimar atau tudung labuh yang jarang diketengahkan di pasaran ketika ini.

Menoleh sejenak, jenama Effira Exclusive yang diasaskan pasangan suami isteri yang juga personaliti media sosial iaitu Effi Aizat Musa dan Farah Fakhira Fakhrulruzi telah ditubuhkan pada Disember tahun lalu menerusi Effie & Fara Global.

Ini kerana mereka berdua menyediakan pelbagai variasi tudung labuh dengan suntikan moden tetapi pada masa sama masih mengekalkan kesederhanaan dalam setiap rekaan dan paling penting patuh syariah.

Effira Exclusive yang diasaskan pasangan suami isteri iaitu Effi Aizat Musa (kanan) dan Farah Fakhira Fakhrulruzi (tengah) telah ditubuhkan pada Disember tahun lalu.

Dengan keberanian mengeluarkan modal sebanyak RM10,000 hasil daripada simpanan bersama, Effira Exclusive yang dipasarkan menerusi media sosial di peringkat awal kini boleh berbangga dengan pembukaan butik fizikal pertama di Seksyen 7, Shah Alam, pada awal Oktober lalu.

“Khimar adalah tudung yang menutupi kepala, leher dan labuh sehingga menutupi dada wanita dari belakang mahupun dari depan. Ia juga dikenali sebagai pakaian atas atau penutup kepala yang mampu menutupi dada wanita sekaligus.

“Rata-rata tudung di pasaran tidak begitu labuh seperti khimar dan kebanyakan pereka fesyen Muslimah juga tidak menawarkan khimar,” jelas Farah Fakhira kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Farah Fakhira berkata, kesukaran mendapatkan busana Muslimah sedemikian mendorong beliau menghasilkan khimar sendiri.

Jelasnya, idea itu timbul untuk mengembangkannya ke dalam pasaran tercetus selepas beliau mendapat banyak permintaan daripada individu yang mementingkan pakaian sopan.

Bagi menghasilkan khimar yang menitikberatkan ciri menutup aurat, labuh, longgar dan tidak jarang, wanita muda berusia 20 tahun ini banyak melakukan rujukan daripada rekaan khimar yang terdapat di pasaran Indonesia dan Timur Tengah.

Khimar menitikberatkan ciri menutup aurat, labuh, longgar dan tidak jarang.

Bagaimanapun, khimar keluaran Effira Exclusive mempunyai keunikan tersendiri apabila ia dijahit dwitona iaitu sehelai khimar boleh dijadikan dua gaya.

“Pilihan warna yang kami gunakan terhad kepada warna pastel kerana rata-rata wanita yang memakai tudung labuh ini gemarkan warna-warna yang lembut kerana mereka tidak mahu kelihatan menonjol.

“Kami gunakan pelbagai fabrik seperti chiffon, chiffon crepe dan satin yang berkualiti tinggi. Sehingga kini, Effira Exclusive sudah melancarkan 10 koleksi kerana kami sentiasa mahu menawarkan rekaan terkini kepada pelanggan,” katanya.

Dalam usaha mempelbagaikan citarasa fesyen khimar, Farah Fakhira memberitahu Effira Exclusive turut memperkenalkan tudung bawal labuh dalam koleksi terbaru mereka.

Menggunakan aritachi sepenuhnya, kelebihan fabrik ini kerana ia lembut, ringan, beralun dan selesa digayakan mengikut cuaca di Malaysia.

Effira Exclusive menawarkan dua jenis tudung bawal labuh iaitu ‘puzzle’ dan ‘instant’ yang boleh dipakai bagi semua peringkat usia daripada kanak-kanak seawal 10 tahun hingga orang tua berikutan ukurannya tidak terlalu labuh atau terlalu pendek dan dipastikan selari dengan kehendak agama.

Koleksi baru ini bermula pada harga RM59 bagi tudung bawal labuh, manakala khimar pula bermula pada harga RM79. Setiap rekaan boleh dilihat di ruang Instagram, @effiraexclusive dan @effiracatalogue atau butik yang terletak di Shah Alam.

Menurut Fara Fakhira, bagi perancangan masa depan selain mengeluarkan lebih banyak koleksi yang menarik, beliau dan suami juga merancang menghasilkan koleksi busana untuk kaum lelaki selain mengimpikan untuk menambah cawangan butik.

Effira Exclusive kini memiliki lebih 200 ejen di seluruh negara termasuk di Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand.

Sementara itu, orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai koleksi Effira Exclusive atau menjadi ejen boleh menghubungi talian 0127676402 dan 0175479589. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast