Timbalan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN, Jamal Othman bercakap pada sidang media mengenai Bajet 2018 Majlis Profesor Negara di Balai Ilmuwan Majlis Profesor Negara, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 17 OKOTBER 2017

PUTRAJAYA – Indeks Harga Pengguna (IHP) yang digunakan sejak sekian lama sebagai petunjuk umum kadar inflasi bukan lagi menjadi cerminan tepat kepada perubahan kos sara hidup rakyat pada ketika ini.

Majlis Profesor Negara (MPN) berpendapat sudah tiba masanya Malaysia mempunyai satu petunjuk khas yang boleh memaparkan secara eksplisit paras dan perubahan dalam kos sara hidup rakyat dari masa ke semasa.

Ini bagi memudahkan kerajaan untuk membentuk dasar dan strategi yang lebih berkesan bagi menangani keluhan rakyat berhubung isu kos sara hidup.

Timbalan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN, Prof. Dr Jamal Othman berkata, petunjuk kos sara hidup sepatutnya menjadi pelengkap kepada IHP sedia ada.

“Berbeza dengan IHP yang hanya meletakkan barangan secara umum dalam bakul-bakul tertentu, petunjuk kos sara hidup membenarkan indeks penggantian barangan.

“Contohnya sayur, jika sayur tersebut mahal dan isi rumah tersebut menggantikannya dengan sayur yang lebih murah tetapi mempunyai nutrisi yang sama, ia boleh dimasukkan ke dalam petunjuk kos sara hidup.

“Ini kerana setiap isi rumah mempunyai standard-standard tertentu di dalam barangan atau makanan yang digunakan mereka setiap hari,” katanya semasa sidang media Bajet 2018 di sini.

Jelas Jamal, setiap isi rumah mempunyai standard tertentu bagaimanapun bagi proses penyeragaman petunjuk baharu itu, MPN mencadangkan supaya ia dilakukan mengikut kluster pendapatan isi rumah seperti B40, M40 dan Top 20.

“Ini boleh menjawab persoalan mengapa kadar inflasi kita tidak seiring dengan kos sara hidup yang sering menjadi keluhan rakyat kebelakangan ini.

“Indeks petunjuk kos sara hidup akan melengkapi IHP dan ia akan memudahkan kerajaan untuk memantau tingkat pendapatan yang bersesuaian dengan keperluan hidup rakyat.

“Di dalam indeks petunjuk kos sara hidup juga, kualiti sesuatu barang atau perkhidmatan itu akan diambil kira. Contohnya, jika kita membayar pada harga yang mahal, apakah kualitinya juga baik?

“Ini berbaloi dengan wang yang dikeluarkan pengguna.

“Kita tidak mahu rakyat membayar sesuatu pada harga yang mahal untuk barang atau perkhidmatan yang berkualiti rendah,” katanya lagi.

Justeru, MPN mencadangkan kerajaan supaya menyediakan peruntukan khas dalam Bajet 2018 kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Jabatan Perangkaan untuk membangun dan menerbitkan petunjuk kos sara hidup secara berkala untuk melengkapi IHP sedia ada.

Selain itu, MPN turut meminta kerajaan merangka dan melaksanakan program media dan kempen intensif bagi meningkatkan kesedaran dan tanggung jawab pengguna.

Ini katanya bagi mewujudkan masyarakat pengguna yang berhemah dan pintar selain meningkatkan upaya mereka untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Insentif khas juga perlu diwujudkan untuk mengaktifkan persatuan-persatuan pengguna ke arah merangka dan melaksana program kepenggunaan pintar di seluruh negara. -MalaysiaGazette