Home Dunia Myanmar gagal laksana tanggungjawab lindungi Rohingya

Myanmar gagal laksana tanggungjawab lindungi Rohingya

Penduduk Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar menuju ke sempadan Bangladesh pada tahun lalu. foto Agensi

NEW YORK – Kerajaan Myanmar gagal menunaikan tanggungjawab antarabangsa dan melindungi penduduk Muslim Rohingya daripada kekejaman yang berlaku di Rakhine, kata dua penasihat khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kenyataan itu dikeluarkan oleh penasihat khas PBB mengenai pencegahan pembunuhan beramai-ramai, Adama Dieng dan penasihat khusus mengenai tanggung jawab perlindungan, Ivan Simonovic.

Walaupun terdapat amaran dikeluarkan oleh PBB, kerajaan Myanmar gagal memenuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa dan tanggungjawab utama untuk melindungi penduduk Rohingya daripada kekejaman,” menurut mereka dalam kenyataan bersama.

Malah, menurut mereka, masyarakat antarabangsa juga melaksanakan tanggungjawab itu.

Sejak akhir bulan Ogos lebih daripada 500,000 Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melakukan keganasan yang disifatkan oleh PBB sebagai pembersihan etnik.

Myanmar pula mendakwa operasi tentera di Rakhine selepas pemberontak Rohingya melakukan serangan di pos-pos tentera pada hujung Ogos.

Majlis Keselamatan PBB telah meminta Myanmar menamatkan operasi ketenteraan di Rakhine, memberi akses kepada pekerja bantuan dan membenarkan komuniti Rohingya kembali dengan selamat.

Bagaimanapun, majlis itu tidak menyusuli gesaan itu dengan tindakan penguatkuasaan sekatan, selepas ditentang oleh China dan Rusia.

Baru-baru ini pejabat hak asasi manusia PBB menuduh Myanmar mahu mengeluarkan komuniti Rohingya secara kekal.

Pegawai-pegawai hak asasi PBB memaklumkan, tentera Myanmar telah menembak mati dan merogol kaum wanita dan kanak-kanak yang berusia seawal lima tahun.

“Dalam beberapa kes, sebelum dan semasa serangan, tentera menggunakan megaphones mengumumkan: “Anda tidak perlu berada di sini – pergi ke Bangladesh, jika anda tidak pergi, kami akan menyembur rumah anda dan membunuh anda’,” kata laporan itu. – MalaysiaGazette