KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia akan kekal berdaya tahan pada tahun 2018 dengan Keluaran Negara Kasar (KNK) benar berkembang 5.0 peratus hingga 5.5 peratus didorong oleh permintaan domestik.

Perbelanjaan swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam pelaburan dan penggunaan swasta berkembang 8.9 peratus dan 6.8 peratus.

Perbelanjaan sektor awam dijangka lebih rendah berikutan pengurangan perbelanjaan modal syarikat awam.

Dari sudut penawaran, pertumbuhan dijangka menyeluruh dengan semua sektor mencatat pertumbuhan positif.

Laporan Ekonomi 2017/2018 berkata, kedudukan luaran Malaaysia dijangka kekal memberangsangkan disokong oleh perdagangan dan pertumbuhan global.

Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita semasa dijangka meningkat 5.1 peratus daripada RM40,713 pada 2017 kepada RM42,777 pada 2018.

Dengan kadar pertumbuhan pelaburan yang tinggi, jurang simpanan-pelaburan akan berkurangan kepada 2.3 peratus daripada PNK.

Ekonomi terus beroperasi di bawah keadaan guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran di bawah 4.0 peratus manakala inflasi kekal rendah.

Defisit fiskal akan terus berkurangan kepada 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 berbanding 3 peratus pada 2017.

Oleh itu, hutang Kerajaan Persekutuan akan kekal terurus di bawah had sebanyak 55 peratus daripada KDNK.

Perkembangan ini akan terus memacu Malaysia ke arah sasaran negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dengan menggandakan saiz ekonomi kepada RM2 trilion menjelang 2025, seterusnya menyertai kedudukan 20 negara teratas dunia pada 2050. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast