Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 OKTOBER 2017

Kuala Lumpur- Bajet 2018 adalah bajet yang komprehensif, seimbang dan bertanggung jawab dari segi fiskal dengan defisit diunjurkan merosot kepada 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 6.7 peratus pada 2009.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar berkata, bajet kali ini memberi penekanan kepada pertumbuhan secara inklusif dengan menyediakan pelbagai langkah untuk meringankan beban rakyat dalam jangka masa panjang dan pendek.

“Bajet 2018 turut memberi fokus kepada daya saing dalam tempoh panjang di dalam usaha untuk mengukuhkan ekonomi dan rakyat pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Khazanah dan syarikat-syarikat pelaburannya akan terus memainkan peranan untuk memastikan langkah-langkah yang diumum dalam Bajet 2018 terutamanya berkaitan manfaat pekerja, memperkasakan wanita dan program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dilaksanakan. – MalaysiaGazette