Ruhanie Ahmad
Ruhanie Ahmad

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam, bukan ibu segala bajet.

Sebaliknya, menurut Naib Presidennya, Datuk Ruhanie Ahmad, bajet itu cuma untuk menawan hati pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

“Saya berasa aneh apabila Perdana Menteri menyatakan Bajet 2018 disifatkan sebagai ‘ibu segala bajet’.

“Kalau Bumiputera selaku bangsa teras dan penduduk majoriti Malaysia seolah-olah disamatarafkan statusnya dengan lain-lain kaum menerusi beberapa peruntukan dalam Bajet 2018, layakkah ia disifatkan ‘ibu segala bajet’?,” katanya dalam kenyataan kepada media mengulas Bajet 2018 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Agenda Bumiputera Perkasa berkata, apakah ciri istimewa Bajet 2018 mengenai sosio-ekonomi Bumiputera.

Katanya, adakah ia menghuraikan soal jurang pendapatan hakiki antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera yang kian melebar pada hari ini?

”Kalau Bajet 2018 ‘ibu segala bajet’, kenapa samakan peruntukan pendidikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dengan lain-lain sekolah bukan Bumiputera?

“Apabila bajet ini tidak memberi perhatian kepada usaha Bumiputera untuk memiliki hartanah komersial dan perumahan persendirian, layakkah Bajet 2018 digelar ‘ibu segala bajet’?

“Begitu juga, kalau ‘ibu segala bajet’, kenapa biasiswa JPA untuk pelajar Bumiputera terus dikongsikan dengan lain-lain kaum. Bila biasiswa ini hendak diberikan sepenuhnya kepada pelajar Bumiputera,” soal Ruhanie.

Sehubungan itu, katanya, Perkasa mendesak kerajaan supaya membetulkan segala kepincangan dasar dasar afirmatif sosio-ekonomi yang sedang melanda Bumiputera pada hari ini.

Beliau juga berharap, kerajaan jangan remeh temehkan kesejahteraan sosio-ekonomi Bumiputera yang dijamin oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast