Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) kelihatan melintasi kubah mahkamah semasa tinjauan Lensa Malaysia Gazette. foto FAREEZ FADZIL

SURABAYA – Malaysia Airlines hari ini melancarkan penerbangan Kuala Lumpur-Surabaya-Kuala Lumpur, dengan acara sambutan ketibaan dan pelepasan balik di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, lapangan terbang kedua terbesar di Indonesia.

Acara itu disempurnakan Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Ketua Pegawai Komersial Malaysia Airlines Arved von zur Muehlen dan beberapa pegawai kanan kerajaan tempatan Indonesia.

Penerbangan MH871 berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 6.30 pagi. Semasa ketibaan, para penumpang disambut dengan persembahan kebudayaan berwarna-warni oleh penari dari Tourism Indonesia dan penumpang juga diberikan hadiah istimewa.

Muehlen memberitahu Bernama, perkhidmatan MAS Kuala Lumpur-Surabaya-Kuala Lumpur itu merupakan destinasi utama keempat syarikat penerbangan itu di Indonesia.

“Kami teruja untuk mengadakan semula penerbangan terus ke Surabaya. Pengembangan laluan ini akan menyediakan sambungan dengan penerbangan terus beroperasi empat kali seminggu ke dan dari Kuala Lumpur ke lapangan terbang kedua tersibuk di Indonesia,” katanya.

MAS telah menghentikan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Surabaya sejak empat tahun lepas semasa merasionalisasi laluannya di seluruh dunia.

“Saya gembira dapat meraikan dan mengukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia dengan pembukaan semula operasi kami ke Surabaya. Saya juga gembira untuk mengumumkan bahawa kami akan meningkatkan penerbangan Kuala Lumpur-Surabaya sebanyak empat kali seminggu kepada setiap hari bermula awal Disember,” katanya.

Perkhidmatan empat kali seminggu ke dan dari Surabaya dikendalikan dengan pesawat generasi baru B737-800 dengan 160 tempat duduk, terdiri daripada 16 tempat duduk kelas perniagaan dan 144 tempat duduk kelas ekonomi.

Sementara itu, Zahrain berkata, penerbangan terus antara Kuala Lumpur-Surabaya bertepatan dengan masanya kerana permintaan bagi laluan itu adalah tinggi.

Beliau berkata berdasarkan maklumat, penerbangan terus ke Surabaya dan sebaliknya sentiasa penuh ekoran ramai rakyat Malaysia gemar bercuti ke Surabaya manakala ramai juga penduduk tempatan sering ke Kuala Lumpur bagi pelbagai urusan termasuk bertemu keluarga.

–BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast