KUALA LUMPUR – Selepas tiga hari dibebaskan dengan jaminan RM100,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Datuk Seri Shafie Apdal mula turun padang bertemu penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) di kawasannya di Semporna.
Dalam perjumpaan itu, beliau menyatakan rasa terharu dan terima kasih kepada keluarga, pengundi, ahli dan penyokong parti yang tidak putus-putus memberi sokongan sepanjang beliau direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Kinabalu, minggu lalu.
Beliau yang juga Presiden Parti Warisan menghargai segala pengorbanan semua pihak yang menyokongnya, baik dari segi masa, tenaga dan juga wang ringgit.
“Alhamdulillah, syukur kepada Yang Maha Esa di atas segala rahmat dan kurnia-Nya yang memberikan masa dan kesempatan dapat sama-sama kita berjumpa di kediaman keluarga saya di Semporna.
“Saya hargai segala pengorbanan anda semua, baik dari segi masa, tenaga dan juga wang ringgit. Perjuangan ini tidak akan terhenti di sini, sebaliknya ia akan terus mara ke hadapan, demi agama, bangsa, negara dan juga masa depan anak cucu kita nanti,” katanya dalam kenyataan yang dipetik menerusi akaun rasmi Facebook beliau, Shafie Apdal Official, hari ini.
Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu ditahan pada jam 5.15 petang 19 Oktober lalu di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Sabah selepas dipanggil ke pejabat SPRM Sabah untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion di bawah kementerian berkenaan.
Shafie yang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, bagaimanapun, dibebaskan dengan jaminan RM100,000 pada pagi Jumaat lalu. – MalaysiaGazette