Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ketika membuat lawatan ke Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Ekspo Negaraku Kuala Lumpur 2017 yang bermula esok hingga 15 Disember ini menyediakan pelbagai porgram interaktif bagi menarik pengunjung.

Seramai 100 pengunjung pertama akan menerima cenderahati misteri, mereka juga akan dikejutkan dengan panggilan secara rawak daripada pemimpin negara sepanjang tempoh sebulan ekspo itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, berbanding pameran dan program lalu yang hanya bersandarkan bacaan, ekspo kali ini adalah bersifat interaktif kepada pengunjung menghayati setiap slot dalam bentuk tiga dimensi.

“Pameran yang diadakan dalam lima kubah khas yang dibina itu adalah bersifat interaktif yang menyediakan peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat mengenai segala infrastruktur pengangkutan awam negara hanya menerusi sentuhan, mendengar dan mencuba program simulasi pengangkutan yang disediakan.

“Kali ini setiap program akan bersifat dramatik, di mana dengan sistem interaksi, telefon akan berbunyi untuk dijawab bagi penjelasan lanjut mengenai segala informasi yang dipaparkan pada skrin dalam bentuk grafik.

“Lebih menarik lagi, pengunjung akan menerima panggilan rawak daripada pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bila bila masa sepanjang ekspo itu berlangsung dan mana-mana pengunjung menjawab panggilan dapat berbual dengan pemimpin dan menteri Kabinet kita,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam program pratonton bersama media mengenai Ekspo Negaraku Kuala Lumpur 2017 di Dataran Merdeka di sini.

Katanya, ekspo yang mempromosikan infrastruktur negara bertaraf antarabangsa itu adalah program julung kali menerus cetusan idea Najib yang mensasarkan kunjungan 500,000 orang selama 30 hari.

Ujar beliau, kubah ketiga dalam ekspo itu menyediakan segmen telekomunikasi dengan pengunjung berpeluang menggunakan simulasi pengawal menara trafik udara untuk berkomunikasi dengan juruterbang bagi pelepasan dan pendaratan pesawat di lapangan terbang.

Selain itu tambah beliau, pengunjung juga boleh merasai sendiri simulator memandu bas Rapid, simulator perjalanan tren pelbagai Transit Aliran Ringan (LRT), MRT, Sistem Transit Rapid (RTS) Link dan rel berkelajuan tinggi (HSR) dengan tempat duduk sebenar beserta maklumat di skrin televisyen memaparkan destinasi yang dilalui tren.

Pengamal media yang mengikuti pra tonton itu juga berpeluang merasai sendiri simulator tren tersebut yang disediakan dengan gambaran projek infrastruktur yang sedang dijalankan.

“Sepanjang ekspo berkenaan, jalan berhampiran Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad akan ditutup untuk awam, dan orang ramai digalakkan menggunakan bas, tren dan motosikal untuk keselamatan umum.

“Malah perbincangan telah diadakan dengan perkhidmatan Grab yang bersetuju menyediakan diskaun RM5 untuk pengunjung ekspo bagi setiap perjalanan mereka.

“Selain itu, bagi memastikan pengunjung dapat menghayati setiap slot dalam lima kubah itu, kita akan memastikan pergerakan pelawat secara berperingkat supaya suasana lebih selesa dan tidak diganggu kesesakan terlampau.

“Untuk memastikan kanak-kanak dan dewasa terhibur, kita menyediakan trak makanan bergerak, permainan futsal dan program menarik untuk kanak-kanak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast