Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kiri) melihat cara rawatan akupuntur semasa membuat lawatan ke Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Hospital swasta di negara ini mempunyai peranan sebagai pemangkin kepada usaha perpaduan nasional, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, perkara ini dapat dilihat melalui kepelbagaian kaum warga kerja hospital serta pesakit-pesakit yang menerima rawatan.

“Selain dalam memberi sokongan kepada bidang kesihatan, what you are doing, you are promoting and strengthening national unity (apa yang anda lakukan, ialah memupuk dan memperkukuh perpaduan nasional) ,” katanya semasa melawat Hospital Tung Shin (TSH) dan Chinese Maternity Hospital (CMH) di sini, hari ini.

Najib merupakan perdana menteri yang pertama melawat THS sejak ia ditubuhkan.

Beliau berkata, kewujudan hospital swasta seperti TSH juga telah banyak membantu kerajaan dalam mengurangkan beban kewangan yang diperuntukkan untuk sektor kesihatan.

Katanya, tahun ini sahaja, kerajaan telah membelanjakan RM24 bilion untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan awam kepada rakyat, berbanding hanya RM600 juta yang telah dikutip.

“Bila ada pihak yang mempunyai sikap tanggungjawab sosial yang tinggi seperti TSH dan CMH, maka sudah tentu ia akan membantu meringankan beban kewangan kerajaan,” katanya.

Najib berkata, beliau juga difahamkan bahawa kedua-dua hospital itu turut memberi subsidi perkhidmatan rawatan perubatan yang tinggi kepada pesakitnya manakala pesakit yang tidak berkemampuan juga dikecualikan bayaran.

“Peranan TSH dan CMH secara langsung telah membantu kerajaan. Ini yang kita nak.

“Dalam bidang kesihatan, bila kita memberi sumbangan, that is also an act of unity sebab we are promoting national unity (itu juga usaha perpaduan sebab kita memupuk perpaduan nasional),” kata. – Bernama