Jafri Zainal menunjukkan antara makanan yang mendapat sambutan di The Drongo Cafe & Kopitiam, Bangi. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2017.

BANGI – Kafe kampung dalam bandar, itu jolokan yang diberikan penduduk tempatan kepada kafe The Drongo Kopitiam & Grill Cafe menyajikan hidangan ringkas, sedap, berkhasiat malah sesuai kepada mereka yang gemar bersantai.

Jika di kampung ada gerai-gerai kecil terletak di bahu jalan tempat orang kampung melepaskan lelah selepas penat berkebun dan membanting tulang di sawah, konsep yang hampir sama ditawarkan kafe The Drongo.

The Drongo yang terletak di pinggir bandar di sini lebih sesuai dikunjungi semua lapisan masyarakat khususnya mereka yang sudah berkeluarga dengan suasana kampung yang sunyi khususnya apabila waktu malam.

Sudah pasti ramai tertanya-tanya apakah hidangan yang disediakan di sini. Terdapat tiga menu utama Drongo iaitu nasi lemak, burger dan roti benggali.

Istimewanya nasi lemak Drongo ia disajikan dengan tiga jenis ‘topping’ iaitu Telur Bengkak, Telur Meleleh dan Ayam Bakar; manakala roti benggali pula disediakan dengan Telur Goyang dan Telur Lava.

Nasi Lemak Telor Bengkak antara hidangan yang boleh didapati di The Drongo Cafe & Kopitiam, Bangi. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2017.

The Drongo turut menawarkan hidangan berasaskan burger, namun istimewanya burger di sini berbanding burger di luar sana ialah terdapat dua jenis iaitu Burger Pink dari Jepun dan Burger Arang dari Korea.

Kesemua makanan di The Drongo berasaskan roti dan burger ini ditempah khas dari sebuah kilang benggali di Pulau Pinang kerana tekstur, kelembutan dan ia tiada bahan pengawet atau pewarna.

Menurut pemiliknya, Jafni Zainal, 52, ketiga-tiga hidangan yang dijual di kafenya itu mempunyai rasa dan aroma berlainan berbanding dengan nasi lemak dan burger yang terdapat di pasaran.

Katanya, ini kerana nasi lemak dimasak dan disediakan di rumahnya di sini, adalah resipi daripada keluarganya sejak turun-temurun dan ia akan dibawa ke kafe yang disiap dibungkus dengas pembungkus burger.

Pelik tapi benar, nasi lemak Drongo disajikan hanya dengan nasi, sambal dan timun sahaja tanpa memasukkan ikan bilis dan kacang di mana kebanyakan orang tidak menghabiskannya.

Nasi Lemak Ayam Bakar antara makanan yang boleh didapati di The Drongo Cafe & Kopitiam, Bangi. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2017.
Roti Telur Leleh antara makanan yang boleh didapati di The Drongo Cafe & Kopitiam, Bangi. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2017.

Bagi menu berasaskan burger pula, dua jenis pilihan iaitu Burger Pink berasaskan yis dan Burger Arang berwarna hitam dihidangkan dengan telur goreng, ayam bakar dan kentang goreng.

Kesemua menu yang ditawarkan di Drongo ini adalah makanan sihat kerana ia tidak berminyak, tiada bahan pengawet, dan bekalan telurnya mempunyai khasiat Omega 3 yang ditempah khas dari sebuah ladang di Johor.

Burger Drongo (kanan) dan Burger Pink Panther (kiri) antara makanan yang boleh didapati di The Drongo Cafe & Kopitiam, Bangi. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2017.

Lebih istimewa lagi anda hanya perlu membayar makanan sahaja kerana minuman disediakan secara percuma dan boleh ditambah seberapa banyak yang perlu.

Namun pelanggan dicaj dengan bayar RM1 untuk minuman kopi panas dan ia juga boleh diisi semula secara percuma.

Makanan yang dijual di Drongo ini juga pada harga mampu milik, serendah RM2.50 hingga RM10.

Buat masa ini, kafe ini dibuka kepada orang ramai pada pukul 4 petang hingga lewat malam.

Bagi anda yang kaki makan dan inginkan kelainan dan santai, boleh mengunjungi Kafe Drongo dengan semudah membuat carian di Google Map atau lima minit dari plaza tol Bangi.

Berikut adalah alamat Kafe The Drongo iaitu di Jalan Rahmat, Kampung Teras Jernang, Kajang atau boleh menghubungi pemiliknya, Jafni di talian 019-341 0071. – MalaysiaGazette