Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib

KUALA LUMPUR-  Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) buat pertama kalinya meraikan kecemerlangan penulisan dan laporan pihak wartawan hiburan di dalam mendukung pembangunan industri filem dengan penganjuran Anugerah Kewartawan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) 2017.

Majlis dengan kerjasama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (WHAM) dan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu akan berlangsung pada 24 November, Jumaat ini pukul 8 malam di Hotel ParkRoyal di sini.

Selain itu, majlis itu juga bakal mempertemukan semula nama-nama besar dalam dunia penulisan kewartawan hiburan akhbar dan majalah bermula era 80-an sehingga kepada wartawan yang masih bertugas di media popular hari ini.

Ia bakal memberi pengiktirafan melalui penganugerahan 12 kategori utama termasuk Anugerah Khas Tokoh Wartawan Hiburan, penerima AKIFMA 2017 yang dinilai barisan juri profesional.

Ini berdasarkan penulisan dan laporan wartawan hiburan berkaitan industri filem tempatan dari 1 Januari 2016 sehingga 31 Oktober 2017.

Menurut Pengerusi Finas, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, majlis anugerah yang julung-julung kalinya diadakan ini adalah penghargaan kerajaan melalui Finas atas idea, usaha dan aspirasi pihak wartawan sebagai jentera pembangunan industri.

“Impak positif kewartawanan yang kritis dan kreatif secara jangka panjang amat penting bagi membantu kerajaan menjana kepada pembinaan masyarakat yang berilmu dan cintakan industri filem itu sendiri,” kata Khusairi.

AKIFMA 2017 turut menampilkan primadona filem Melayu era 80-an dan 90-an, Fauziah Datuk Ahmad Daud sebagai pengacara yang buat pertama kalinya bergandingan dengan Abam Bocey.

Antara penyampai anugerah adalah Datuk Rosyam Noor, Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Seri Shah Rezza dan ramai lagi nama-nama besar dalam kewartawanan hiburan antaranya, Saodah Ismail, Sarimah Hussain, Zubairi Zabidin dan ramai lagi.

Sementara itu, sebanyak 12 kategori akan diumumkan dan setiap penerima bakal membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai.

Kategori anugerah tersebut adalah seperti berikut:

  1. Anugerah Penulis Pojok Terbaik
  2. Anugerah Wartawan Hiburan Muda
  3. Anugerah Khas Juri 1
  4. Anugerah Khas Juri 2
  5. Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem
  6. Anugerah Kolumnis Hiburan Terbaik
  7. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik ( Media Baharu)
  8. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Televisyen)
  9. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Media Cetak)
  10. Anugerah Kewartawanan Cemerlang 1
    11.Anugerah Kewartawanan Cemerlang  2
  11. Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan – MalaysiaGazette