Keadaan enam banglo tiga tingkat bernilai jutaan ringgit di Persiaran Tanjung Bungah yang masih dalam pembinaan rosak teruk berikutan tanah runtuh akibat hujan lebat yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini. foto SAFWAN MANSOR, 08 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Kegagalan menyediakan pelan bencana sudah cukup untuk memperlihatkan kelemahan kerajaan DAP Pulau Pinang sehingga terpaksa merayu bantuan daripada kerajaan Pusat, bidas Datuk Huan Cheng Guan.

Timbalan Presiden PCM, Mejar Datuk Huan Cheng Guan pada Diskusi UMNO-Online bertajuk Membongkat Wajah Sebenar DAP di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 29 NOVEMBER 2017

Presiden Parti Cinta Malaysia itu berkata punca banjir buruk melanda negeri tersebut baru-baru ini disebabkan kerajaan pentadbiran Lim Guan Eng yang tidak menjaga alam sekitar apabila membenarkan banyak kawasan bukit ditarah untuk projek-projek mewah.

“Banjir besar di Pulau Pinang baru-baru ini, sudah cukup untuk memperlihatkan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai ‘plan kecemasan bencana’ sehingga Ketua Menteri terpaksa menangis untuk meminta bantuan kerajaan pusat. Ini memperlihatkan kerajaan negeri yang amat tidak peka terhadap keselamatan dan nasib rakyat sekiranya berlaku sebarang bencana.

“Malah mereka sebenarnya yang mendatangkan bencana kepada rakyat di Pulau Pinang apabila membenarkan lereng dan bukit-bukau di Pulau Pinang ditarah sewenang-wenang untuk membina rumah mewah, sehingga menyebabkan ramai yang kehilangan nyawa akibat tanah runtuh seperti yang berlaku baru-baru ini,” beliau dipetik berkata.

Dalam pada itu, Huan juga mendakwa kerajaan DAP juga didapati gagal menunaikan janji-janji dan manifesto mereka sepertimana janji-janji mereka kepada rakyat pada pilihan raya umum yang lepas.

“Antara janji-janji DAP jika mentadbir Pulau Pinang, mereka akan memberikan parkir percuma kepada rakyat, tetapi hari ini apa sudah jadi? Mereka bukan sahaja tidak mengotakan janji mereka itu, malah harga parkir di Pulau Pinang semakin meningkat tinggi.

“Begitu juga dengan harga sewa tapak perniagaan yang dinaikkan hampir 200 peratus oleh kerajaan Dap.

“Begitu juga dengan tarif air, sepanjang 10 tahun kerajaan Dap memerintah Pulau Pinang, tarif air sudah dinaikan sebanyak tiga kali. Saya difahamkan, kerajaan negeri juga berhasrat untuk menaikkan lagi tarif air pada tahun depan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette