Pengarah Filem, Sofia J Rhyland (kanan) dan watak utama, Harris Baba pada majlis pra-pelancaran filem seram "The Millionaire" di Restoran Dudha, Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Hampir 10 tahun skrip filem The Millionaire tersimpan, akhirnya ia dapat direalisasikan apabila proses penggambaran akan dimulakan pada 6 Disember ini.

Filem bercorak seram itu merupakan terbitan Durian Media Networks Sdn. Bhd..

Filem ini ditulis dan diarahkan oleh Sofia J Rhyland iaitu penulis skrip drama yang tidak asing lagi dalam dunia drama tanahair.

The Millionaire adalah filem cereka kedua Sofia yang sebelum ini pada 2015 pernah mengarah filem berkonsepkan kasih-sayang dan keluarga yang tidak dapat didedahkan judulnya.

Sofia berkata, skrip The Millionare adalah kesinambungan jalan cerita drama bersiri Jelma yang ditayangkan di laman web pada 2008.

“Namun ketika itu, skrip itu tertangguh sebab berdepan kekangan kewangan dalam mencari dana.

“Tetapi Alhamdulillah, hampir 10 tahun kini terdapat ramai penaja yang sudi merealisasikannya dalam bentuk filem.

“Dan saya menjanjikan ia bukan filem seram biasa kerana akan terdapat banyak plot-plot menarik yang tidak disangka,” katanya.

Sofia berkata demikian pada majlis prapelancaran filem tersebut di sini semalam.

The Millionaire mengisahkan seorang usahawan muda bernama Hakimi lakonan Harris Baba yang terdesak sanggup melakukan apa sahaja asalkan perniagaan dan anak isterinya selamat dari situasi yang genting ini. .Bagaimanapun, bantuan yang diterima ada harganya dan harganya tidak boleh dibayar dengan wang ringgit.

Selain Harris, filem itu akan diterajui oleh Raja Ilya dan penampilan khas nama nama seperti Mokhtaruddin, Edyka Yusof, Aman Shah , Julia Ziegler serta beberapa orang lagi.

Filem ini turut menampilkan bakat baru dan antaranya adalah Syafiq Nazri, Sarah Shahir serta ramai lagi.

Ditanya kenapa dia mula mengarah filem selepas lama menulis skrip drama, Sofia berkata, impian itu sudah lama dinantikan dalam mencari kepuasan berkarya.

“Bila penulis skrip menjadi pengarah, ia lebih mudah untuk menyampaikan watak-watak ketika mengarah nanti,” katanya.

Mengulas pemilihan Harris sebagai hero, pelakon baharu itu dipilih kerana menunjukkan komitmen tinggi dan kebetulan  artis lain terikat dengan jadual.

“Lagi pun watak utama sesuai untuk Harris dan industry kena ada pelapis dan mereka perlu beri peluang,” katanya sambil memberitahu kos The Millionaire mencecah RM3 juta.

Sementara itu, penerbitan filem cereka itu turut disokong oleh oleh rakan sekutu seperti Lypsinc Entertainment Sdn. Bhd., Sheunik Sdn. Bhd. dan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat  penaja seperti DNC Asiatic Sdn. Bhd., Ecco3,.Richiamo Coffee, Jobless Millionaire International, Duddha, Serkoot, Apstore dan beberapa buah syarikat lain. – MalaysiaGazette