NEW DELHI – Aktor veteran Bollywood, Shashi Kapoor meninggal dunia di Hospital Kokilaben Dhirubhai Ambani, Mumbai pada pukul 5.20 petang semalam. Beliau berusia 79 tahun.
“Ya, dia telah meninggal dunia. Dia mempunyai masalah buah pinggang dan telah menjalani dialisis untuk beberapa tahun,” kata anak saudaranya, Randhir Kapoor iaitu anak mendiang Raj Kapoor kepada agensi berita, PTI.
Antara filem yang dibintang aktor veteran itu ialah Deewar, In Custody dan Junoon.
Beliau merupakan adik Raj dan Shammi Kapoor.
Shashi Kapoor mula dikenali menerusi penglibatan sebagai pelakon kanak-kanak dalam filem Aag (1948) dan Awaara (1951).
Beliau mula memegang watak utama dalam filem Dharmputra pada 1961 dan membintangi lebih 161 buah filem antara 1970an hingga pertengahan 1980an.
Karier Shashi Kapoor bukan sahaja berkembang di India tetapi juga di peringkat antarabangsa selain dikenali dalam dunia teater seperti mana beliau dikenali dalam dunia perfileman.
Isteri beliau, Jennifer Kendal yang merupakan aktres kelahiran Britain meninggal dunia pada 1984. – Agensi
















