LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 menahan dua bot pukat rawa sorong dan lapan nelayan tempatan, termasuk empat daripadanya terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam dua operasi berasingan, semalam.

Pengarah Maritim Daerah Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kedua-dua bot dan lapan nelayan itu ditahan di dua lokasi berasingan di Pulau Pasir Hitam, Taiping, dan Pulau Pangkor.

Beliau berkata, dua bot pukat rawa sorong ditahan ketika sedang menangkap ikan antara 2.30 hingga 9.10 pagi kira-kira satu batu nautika dari selatan Pulau Pasir Hitam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran selain tiada lesen menangkap ikan yang sah.

“Bagaimanapun dua tekong dan dua awak-awak warga tempatan berumur antara 14 dan 23 tahun dilepaskan dengan ikat jamin polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, Wan Mat berkata dalam operasi berasingan, empat nelayan tempatan ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah kira-kira dua batu nautika Timur Laut Pulau Pangkor, di sini pada 9 pagi semalam.

Katanya, Kapal Maritim Tugau menahan kesemua nelayan tersebut selepas ujian awal saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah sebelum menyerahkan mereka kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut. – Bernama