KUALA LUMPUR – Bagi memberi kepuasan pelbagai kepada penonton, HyppTV kini tampil menyiarkan satu lagi drama bersiri eksklusif dan berkualiti yang bertajuk Ana Kleopatrena.

Drama romantik sebanyak 30 episod itu mula ditayangkan di HyppSensasi HD (HyppTV Saluran 116) setiap Rabu dan Khamis sejak 29 November lalu pukul 9 malam selain boleh juga ditonton di aplikasi mudah alih, HyppTV Everywhere.

Ana Kleopatrena menampilkan bintang-bintang muda hebat seperti Mimi Lana, Adeline Tsen, Mimi Ernida, Nazim Othman dan Zoey Rahman.

Ana Kleopatrena mengisahkan tentang Ana, seorang gadis dari pekan kecil yang mempunyai ibu bapa yang berharta. Sebaik menghabiskan pengajian, Ana bertunang dengan jejaka idamannya.

Namun tiga minggu sebelum perkahwinan, tunangnya telah membatalkan perkahwinan mereka. Ana mula merantau ke Kuala Lumpur untuk mencari cinta sejatinya.

Keadaan bertambah rumit apabila Ana yang menyembunyikan identiti asalnya telah ditawarkan untuk menjadi duta produk kecantikan yang akan mengubah dirinya.

Mampukah Ana untuk keluar dari zon selesanya dan menyesuaikan diri dengan kehidupan di Kuala Lumpur seterusnya berubah menjadi secantik Cleopatra? Adakah Ana akan berjumpa dengan cinta sejati yang dicarinya?

Mimi Lana memegang watak utama Ana Kleopatrena.

Siri drama ini menampilkan Mimi Lana yang melakonkan watak Ana Kleopatrena di samping Mimi Ernida sebagai Nani iaitu kawan baik Ana.

Nazim pula memegang watak majikan Nani yang keras kepala sebagai Ariff Taufik. Drama romantik ini juga dijayakan oleh pelakon tambahan yang menarik seperti Linda Hashim, Esma Danial, Fazlina Ahmad Daud, Azlan Komeng, Arash Mohamad dan Marisa Yasmin.

Para penonton dijanjikan perkembangan Ana dari seorang gadis biasa kepada seorang Cleopatra moden yang cantik dan penuh keyakinan.

Sementara itu, HyppTV iaitu perkhidmatan penstriman TV & Video di Malaysia yang pernah menerima anugerah dan boleh ditonton menerusi pelbagai platform sentiasa tampil memberikan hanya yang terbaik kepada para pelanggan. – MalaysiaGazette