Foto Instagram Najwa Latiff.

KUALA LUMPUR – Lama menyepi dalam dunia seni, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif tampil berkongsi kegembiraannya apabila berjaya menamatkan pengajiannya hujung minggu lalu.

Najwa membuktikan pendidikan menjadi keutamaan apabila berjaya menggenggam segulung ijazah dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) daripada Universiti Antarabangsa Unitar (UNITAR).

Majlis konvensyen bersejarah itu berlangsung di Putrajaya.

“Salah satu impian saya untuk tahun 2017 sudah dipenuhi. Kepada Mama, kak Iza, kak Ika, abang Farihiin, adik, abang Azahari serta semua peminat, saya sudah bergelar graduan!,” kata Najwa di laman sosial Instagram miliknya.

Pencapaian Najwa, 22, mendapat komen positif daripada peminat yang membanjiri laman sosial, Instagramnya dengan ucapan tahniah dan mengharapkan agar penyanyi itu terus menjadi inspirasi buat anak muda.

Najwa kini meneruskan pengajian pada peringkat Sarjana di Universiti Malaya (UM) sejak September lalu dengan mengambil jurusan sama.

Kursus itu tamat dalam masa setahun setengah. – MalaysiaGazette