Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan pasport antarabangsa baharu Malaysia semasa melawat kilang Datasonic Group Berhad di Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 21 DISEMBER 2017.

PETALING JAYA – Malaysia yakin kerajaan Amerika Syarikat (AS) cukup bijak dalam membezakan isu hubungan diplomatik dan dagangan antara kedua-dua negara itu apabila Malaysia mengutuk tindakan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Presiden AS, Donald Trump pastinya tahu bahawa Malaysia tegas dengan pendiriannya walaupun turut menerima kesan kepada negara.

“Kita harus membezakan hubungan diplomatik, dagangan dan jaringan hubungan lain kerana ini persoalan yang sangat spesifik.

“Ini soal Baitulmaqdis, kita juga memahami pihak Amerika Syarikat cukup bijaksana dari segi memperasingkan isu Baitulmaqdis ini dengan isu lain,” katanya kepada wartawan.

Ahmad Zahid ditemui sidang media selepas mengadakan siri lawatan ke kilang Datasonic Group Berhad yang membekalkan pasport berciri keselamatan baharu kepada Jabatan Imigresen.

Sebelum ini, Trump mengugut untuk menghentikan bantuan kewangan kepada negara-negara yang menyokong draf resolusi Pertubunan bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Baitulmaqdis.

Draf itu mendesak agar AS menarik balik keputusannya mengiktiraf kota suci umat Islam itu sebagai ibu negara Israel.

Ditanya samada ugutan Trump akan memberi kesan kepada Malaysia, Ahmad Zahid berkata, negara tidak akan menerima kesan secara langsung kerana Malaysia juga adalah negara pemberi bantuan kepada AS.

“Kita tidak terima banyak bantuan sebab kita bukan hanya negara penerima, kita juga adalah negara pemberi (bantuan).

“Tetapi dari segi hubungan pertahanan, keselamatan dan perdagangan harus diasingkan sepenuhnya daripada soal isu Baitulmaqdis,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini memberi jaminan bahawa Putrajaya akan terus memperjuangkan kota Baitulmaqdis walaupun AS menggunakan kuasa vetonya bagi membatalkan resolusi Majlis Keselamatan PBB berhubung status kota itu. – MalaysiaGazette.

1 Komen

Comments are closed.