Pelakon nombor satu India Selatan, Rajinikanth.

KUALA LUMPUR –  Pelakon nombor satu India Selatan, ‘Superstar’ Rajinikanth yang tiba di Malaysia untuk menghadiri acara gilang gemilang, Natchathira Vizha 2018 disambut ribuan peminat awal pagi tadi.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Kuala (KLIA) bersama-sama isterinya, Latha Rajinikanth berpakaian serba hitam menerima sorakan serta tepukan gemuruh oleh peminat yang rata-ratanya telah menunggu selama beberapa jam, ada antaranya sejak lewat malam tadi.

Penganjur acara Natchathira Vizha 2018, Persatuan Artis India Selatan (SIAA) atau lebih mesra sebagai Nadigar Sanggam turut menjanjikan ‘kejutan’ besar kepada para peminat Rajinikanth di Malaysia kali ini.

Bintang terbesar Kollywood itu juga tiba bersama lebih 200 pelakon lain antaranya, Vishal, Karthi, Aarya, Sivakarthikeyan, Barath, Sham, Vishnu, Janani Iyer, Bindhu Madhavi, Varalakshmi Sarathkumar dan Sri Divya.

Baru-baru ini, Rajinikanth yang sudah berusia 67 itu membuat kejutan apabila membuat pengumuman beliau akan menceburi bidang politik di Tamil Nadu, India selepas hampir dua dekad berikutan ketidakstabilan politik di negeri itu.

Pengumuman itu juga telah memberikan pelbagai reaksi positif dan negatif dalam kalangan ahli politik dan peminatnya seluruh dunia.

Beliau mendakwa akan membentuk parti politik sendiri dan bertanding di semua 234 kerusi dalam pilihan raya negeri itu yang akan datang.

Rajinikanth yang pernah bekerja sebagai konduktor bas di Bangalore sebelum ke Chennai pada 1973 untuk mencapai impiannya berkecimpung dalam dunia lakonan sehingga berjaya menjadi pelakon versatil nombor satu negara itu.

Dalam pada itu, , Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara tetamu kehormat yang dijangka hadir pada Nachathira Vizha 2018 SIAA dengan kerjasama MyEvents International serta mendapat sokongan Malaysia Major Events, anak syarikat di bawah Kementerian Pelancongan.

Nachathira Vizha 2018 turut mengetengahkan aktor-aktor terkenal seperti Surya, Vishal, Karthi, Sivakarthikeyan, Vijay Sethupathi, Aarya, Jeeva, Nayanthara, Tamanna dan Hansika serta pelakon veteran antaranya Mohal Lal, Venkatesh, Chiranjeevi, Nagarjuna dan Mammooty dalam acara itu.

Persembahan khas enam pengarah muzik terkenal iaitu Harris Jayaraj, Anirudh Ravichandra, Srikanth Deva, GV Prakash, Tamman dan Imman bersama penyanyi utama antaranya Karthik, Haricharan, Swetha Mohan, Ranjith, Naresh Iyer, Krish, Andrea, Chinmayee turut mewarnai acara tersebut. –Malaysia Gazette