Piper, anjing K9 terkenal di dunia mati akibat kanser

MICHIGAN- Seekor anjing yang menjadi selebriti dunia kerana kehebatannya menjaga lapangan terbang daripada serangan burung-burung liar di Traverse City, dekat sini mati akibat kanser.

Piper yang memulakan tugasnya pada lewat tahun 2014 telah berjaya menghalau lebih 8,000 ekor burung sepanjang tiga tahun ‘kariernya’ sebagai pegawai kawalan binatang liar K9 yang sekaligus menjadikannya sebagai anjing paling terkenal di dunia.

Kisah Piper mula menjadi viral sekitar tahun 2015 apabila imejnya seperti Top Gun dengan memakai kaca mata hitam menjadi hit di laman sosial Reddit.

Bagaimanapun, Piper akhirnya menghempuskan nafasnya yang terakhir selepas bertarung dengan penyakit kanser prostat sejak setahun lalu.

Menurut pemilik Piper yang juga pengurus operasi lapangan terbang berkenaan, Brian Edwards merahsiakan ‘kesakitan’ yang ditanggung oleh Piper kerana tidak mahu anjing kesayangannya itu dibebani dengan kekecohan daripada orang yang tidak dikenali.

Cukuplah keglamoran yang dialami Piper selepas kisahnya menjadi viral.

Tambah Edwards, kanser tersebut mula dikesan pada Januari 2016 tetapi Piper tidak menunjukkan sebarang simptom sehinggalah Disember lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua teman rapat itu tetap bekerja syif 10 jam semasa perayaan hari Krismas.

“Saya rasa kami cukup bertuah untuk menyaksikan beliau bertahan selama itu.

“Ini kanser, tiada yang boleh kita ramalkan,” katanya dalam satu temubual di sini.

Seperti haiwan yang terkenal di internet yang lain, Piper turut mempunyai akaun media sosial dan laman web sendiri.

Menurut Edwards, beliau sengaja membuka laman-laman sosial sedemikian kerana mahu mencari anjing-anjing lain yang mempunyai minat yang sama dengan Piper mahupun menjadi medium golongan yang menghargai haiwan untuk mengenali anjing itu dengan lebih dekat lagi.

Bagaimanapun, Piper memang mudah untuk mencari pengikut kerana dia memang mempunyai karakter yang sempurna: seekor anjing yang dipakaikan pakaian taktikal serta wataknya yang fotogenik dan bijak membuatkan ramai orang tertawan dengan keletahnya.- MalaysiaGazette