KUALA LUMPUR – Tiga surat tuntutan permohonan maaf daripada peguam yang dihantarkan kepada Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Jelasnya, surat tuntutan yang pertama daripada peguamnya Tetuan Raja Riza & Associates bertarikh 5 Januari menerusi pos dan penghantaran sendiri di Pusat Khidmat Parlimen Pandan.

“Setelah meneliti pandangan undang-undang yang telah diberikan oleh peguam saya, saya telah mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi Ramli.

“Lanjutan daripada itu, peguam saya, Tetuan Raja Riza & Associates telah mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 05.01.2018 kepada Rafizi Ramli melalui serahan secara pos berdaftar dan secara serahan ke diri pada hari yang sama.

“Walaubagaimanapun, serahan secara sendiri pada hari tersebut gagal berikutan Rafizi Ramli tiada dipejabatnya di Pusat Khidmat Parlimen Pandan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Rahman, penghantaran surat tuntutan yang terkini iaitu semalam, walaubagaimanapun hanya diterima oleh kakitangan pusat khidmat Rafizi yang bernama Mohd Shariffudin.

“Cubaan serahan secara kediri buat kali kedua telah dilakukan semalam 08.01.2018 di alamat yang sama.

“Namun, Rafizi Ramli masih tiada di pejabatnya. Oleh yang demikian, surat tuntutan tersebut telah diterima oleh Mohd Shariffudin dipercayai kakitangan di Pusat Khidmat Parlimen Pandan tersebut,” katanya.

Terbaru Ahli Rafizi mendakwa Abdul Rahman tidak menghantar surat saman walaupun sudah tiga minggu berlalu sejak fitnah yang dilakukan semasa sidang medianya.

Abdul Rahman dalam pada itu menjelaskan Rafizi diberikan tempoh tujuh hari bermula tarikh surat tuntutan yang diberikan kepadanya untuk membuat permohonan maaf.

Jika Rafizi gagal berbuat demikian, peguam Ahli Parlimen Kota Belut itu akan memfailkan saman terhadapnya.

“Surat tuntutan tersebut menuntut antara lainnya supaya Rafizi Ramli menarik balik kenyataan beliau dan menerbitkan permohonan maaf terhadap saya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat tuntutan tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.