Naib Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting bercakap pada sidang akhbar mengkritik manifesto yang ditawarkan Pemuda Pakatan Harapan di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA mempersoalkan blok pembangkang, Pakatan Harapan, sama ada mereka mahu meneruskan siasatan terhadap semua pembaziran yang dilakukan oleh pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad jika perikatan itu membentuk kerajaan baharu selepas ini.

Naib Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting mengkritik pembangkang yang memilih Mahathir sebagai calon Perdana Menteri tetapi mengingatkan mereka sebelum ini pernah menyatakan mahu menyiasat semua salah laku ketika pentadbiran bekas perdana menteri itu selama 22 tahun.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang pernah mengumumkan sebelum ini bahawa jika Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan baharu, sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) akan ditubuhkan untuk menyiasat pembaziran dana awam semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir, termasuk kerugian RM30 bilion oleh Bank Negara Malaysia pada 1990an.

“Adakah Pemuda Pakatan Harapan akan terus menegakkan ini dan memastikan Dr Mahathir disiasat,” kata beliau semasa sidang media hari ini di Wisma MCA.

Beliau juga mengingatkan pembangkang supaya tidak lupa akan janji mereka ketika Dr Mahathir tidak bersama mereka dalam gabungan pembangkang itu.

“Adakah Pakatan Harapan sudah menderita ‘amnesia’ sekali lagi sebelum menjelangnya pilihan raya umum?” katanya.

Dalam pada itu, Nicole mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang sehingga kini belum menunaikan janji mereka yang melibatkan pemansuhan tol Sungai Nyior walaupun sudah dua penggal memerintah negeri tersebut.

“Akan tetapi selepas DAP memerintah Pulau Pinang, ia mengumumkan bahawa jika tol tersebut dimansuhkan kerajaan negeri akan menghadapi kerugian ratusan jutaan ringgit sebagai pampasan untuk projek Lingkaran Luar Pulau Pinang,” ujarnya.

Menurut Nicole, segala janji pembangkang boleh diibaratkan sebagai janji kosong yang tidak dapat ditunaikan mereka.

“Strategi dan janji mereka tidak ubah seperti janji kosong,” katanya. – MalaysiaGazette