Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadiri sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 30 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berpuas hati dengan persediaan jentera UMNO di semua peringkat dan ‘membayangkan’ akan membubarkan Parlimen sebelum Jun bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden UMNO berkata, arahan sudah dikeluarkan kepada semua jentera untuk meningkatkan kesiapsiagaan menerima respon positif dan kerja-kerja peringkat akar umbi berjalan dengan lancar.

Ia berdasarkan laporan yang diberikan oleh jawatakuasa pengurusan yang dipengerusikan oleh Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Parti sudah keluarkan arahan supaya tingkatkan kesiapsiagaan untuk hadapi PRU-14, arahan itu mendapat sambutan yang positif dan kerja-kerja parti disemua peringkat termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri berjalan lancar dan saya berpuas hati berdasarkan laporan jawatan kuasa pengurusan yang dipengerusikan Zahid,” kata beliau semasa sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini.

Beliau dalam masa yang sama berharap agar kesungguhan itu diteruskan sehingga hari Parlimen dibubar.

Ditanya bila tarikh PRU-14, Najib berkata, Parlimen akan terbubar secara automatik pada Jun ini namun beliau bagaimanapun  membayangkan akan membubar Parlimen lebih awal.

“Saya masih masih tunggu, saya tidak tahu. Saya menunggu ilham atau menunggu masa yang sesuai.

“Pada Jun, Parlimen akan terbubar secara automatik… kami akan (adakan) sebelum Jun,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut menjelaskan dasar yang dilaksanakan kerajaan selama ini menunjukkan prestasi yang baik, ia terbukti apabila ekonomi negara berada pada tahap memuaskan.

“Majlis Tertinggi (UMNO) mengambil maklum ekonomi negara dan pengukuhan ringgit, kadar pertumbuhan yang tinggi, bursa saham tinggi untuk selama tiga tahun, kadar inflasi yang rendah dan kadar pengangguran yang menurun sekitar empat peratus.

“Ia menunjukkan dasar-dasar yang dijalankan kerajaan membuahkan hasil yang menggalakkan dan ini akan mewujudkan suasana bisnes dan keyakinan pengguna yang tinggi berdasarkan laporan yang disiarkan dalam akhbar hari ni,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, kejayaan UMNO hari ini tidak sama dengan pembangkang yang semakin kucar kacir sekaligus tidak mendatangkan keyakinan pada rakyat bagi menjamin kestabilan politik negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast