
KUALA LUMPUR – Penyanyi Syafinaz Selamat dianugerahkan dengan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan, semalam.
Syafinaz yang juga seorang konduktor dan guru vokal menjadi penerima anugerah itu bersama 69 indvidu lain.
Popular menerusi lagu Ingin Bersamamu, Syafinaz juga adalah pensyarah vokal di Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pensyarah Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) serta vokal ‘master’ untuk Koir Kebangsaan Malaysia.
Penyanyi berusia 45 tahun itu juga pernah bertindak sebagai juri program nyanyian seperti Malaysian Idol dan AF Megastar.
Seramai 39 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW), 71 individu menerima anugerah Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 74 individu menerima anugerah Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 94 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).
Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang bermula sejak 2008 adalah bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan warga Wilayah Persekutuan yang banyak berjasa membangunkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. -MalaysiaGazette














