Xavier Jayakumar

SHAH ALAM : Sebanyak sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor masih belum dimuktamadkan.

Mengesahkannya Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar berkata, mesyuarat agihan kerusi yang berlangsung lebih dua jam itu masih memerlukan perbincangan yang akan dilanjutkan selepas perayaan Tahun Baru Cina.

“Keempat-empat parti Selangor telah bincang tentang kerusi dalam pilihan raya yang akan datang kita telah pun ada sedikit kefahaman bahawa kita nak menang negeri Selangor dan semua parti bersama dengan kita di dalam isu ini dan kita akan teruskan perundingan lagi lepas perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang.

“Dalam 15 kerusi lagi yang perlu dibincangkan,” kata Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan peringkat Selangor itu ketika ditemui pemberita.

Terdahulu gabungan parti pembangkang itu memaklumkan berjaya menyelesaikan 35 daripada kerusi DUN melalui rundingan rasmi yang dibuat.

Mengikut perkembangan daripada mesyuarat hari ini empat kerusi yang berjaya dimuktamadkan.

Dalam pada itu menurut Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo, perbincangan hari ini melibatkan kesemua parti dalam Pakatan Harapan.

“Akan ada lagi mesyuarat dalam dua minggu lagi nanti akan dimaklumkan kepada wartawan. Semua wakil parti hari ini hadir,” ujarnya sambil menyifatkan perbincangan berlangsung dengan lancar.

Turut hadir semasa mesyuarat adalah Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN), Saari Sungib dan Ketu Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor, Sallehuddin Amiruddin. – MalaysiaGazette