Calon MCA bagi Parlimen Alor Setar, Datuk Yoo Wei How bersama pengundi Cina. Sumber: Facebook

ALOR SETAR – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini mengumumkan Setiausaha Organisasi Kebangsaan parti itu, Datuk Yoo Wei How sebagai calon parti itu bagi Parlimen Alor Setar dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

Bagi kerusi DUN Kota Darul Aman pula, Tiong Lai berkata, MCA mencalonkan Naib Pengerusi MCA Bahagian Alor Setar, Tan Eng Hwa yang juga seorang peguam.

“Saya yakin gabungan kerjasama oleh kedua-dua calon dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk setempat.

“Calon ini disenarai pendek berdasarkan kriteria pemilihan tertentu iaitu likeable, mempunyai komitmen tinggi berkhidmat untuk rakyat.

“Selain, setia kepada parti dan BN serta sentiasa bergerak cergas di peringkat akar umbi,” katanya memetik laporan Sinar Harian Online.

Tiong Lai berkata demikian dalam siri taklimat persediaan pilihan raya daripada MCA Bahagian Alor Setar, hari ini.

Pada PRU-13 lalu, calon MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung yang memperoleh 25,491 undi gagal mempertahankan kerusi Parlimen Alor Setar setelah kalah kepada calon PKR, Gooi Hsiao Leung yang mendapat 27,364 undi. -MalaysiaGazette.