SHAH ALAM – Pelakon dan pengarah filem terkenal, Datuk Farid Kamil akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok atas kesalahan membuat laporan palsu berhubung kes dadah yang dihadapinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 37, akan dituduh mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan.

“Kes telah dirujuk kepada Pengarah Perundangan Negeri Selangor dan diarahkan dituduh mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mengada-adakan keterangan palsu,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor yang dirasmikan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor di sini, Khamis.

Pada 4 Feb lepas, Farid Kamil membuat laporan polis menyatakan dirinya telah dianiaya tiga rakan artis yang didakwa mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga mendorongnya berkelakuan ganas.-BERNAMA