KUALA LUMPUR – Manifesto Barisan Nasional (BN) khusus bagi belia membuktikan parti itu mengutamakan golongan tersebut dalam negara, kata Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran.

Katanya, langkah proaktif itu sudah tentu akan meningkatkan keyakinan pengundi muda terhadap parti tersebut.

“Manifesto khusus untuk orang muda merupakan sesuatu yang istimewa dan kali pertama BN membuat manisfesto khas untuk orang muda.

“Ia juga memberi keyakinan kepada golongan muda bahawa BN merupakan parti pilihan mereka dan ia mempunyai perancangan yang proaktif.

“Ini membuktikan BN memberi kepentingan untuk orang muda yang bakal menerajui negara dalam pelbagai bidang. Kesemua janji-janji itu adalah janji yang praktikal dan boleh dicapai secara berkesan.

“BN sentiasa mendengar denyutan nadi orang muda dalam membentuk polisi dan pelan pembangunan negara. Manifesto golongan muda bukti BN mementingkan generasi akan datang,” katanya menerusi kenyataan.

Berbeza dengan manifesto yang diumumkan oleh Pakatan Harapan menurut Sivarraajh, BN lebih praktikal dan sistematik dalam memberikan tawaran yang mengutamakan kepada isu kos sara hidup, keperluan industri negara dan peningkatan pendapatan yang sentiasa meniti di bibir generasi muda pada waktu ini.

“Kesemua manifesto itu dibuat selepas analisis dan beberapa perjumpaan serta perbincangan dengan orang muda dan sayap pemuda parti-parti komponen sebelum ia dibentangkan kepada kepimpinan, ia adalah manifesto holistik dan menarik untuk orang muda.

“Manifesto ini menjanjikan penyelesaian kepada dilema golongan muda seperti peningkatan kemahiran selaras dengan keperluan industri dan negara, perumahan, kos sara hidup, peningkatan pendapatan, usahawan, dan pelbagai lagi janji yang akan dilaksanakan oleh BN untuk generasi masa depan.

“Manakala manisfesto Pakatan Harapan hanya kepada janji-janji manis tetapi tidak praktikal dan tidak ada penjelasan samalah seperti janji-janji retorik Pakatan Rakyat yang dijaja dalam PRU lepas,” ujarnya.

  • Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sayap parti itu akan membentangkan manifesto untuk belia sejurus selepas manifesto utama diumumkan menjelang pilihan raya yang akan datang. -MalaysiaGazette