KUALA LUMPUR – Kedudukan kestabilan kewangan domestik berada dalam keadaan terpelihara dan mendapat sokongan yang baik daripada kedudukan institusi kewangan yang kukuh dan pasaran kewangan domestik yang teratur.
Penilaian itu dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kestabilan Kewangan (FSC) Bank Negara Malaysia pada 9 Mac lalu.
Menurutnya, sejak mesyuarat pada bulan November 2017 lalu, volatiliti dalam pasaran kewangan global telah meningkat dalam persekitaran ketidakpastian mengenai tahap penjajaran kadar faedah oleh ekonomi maju, pergerakan harga komoditi dan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat.
Perkembangan luaran dijangka menyebabkan volatiliti yang lebih tinggi dalam persekitaran aliran modal dua hala yang berterusan.
Potensi risiko akan diimbangi oleh prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan dan kehadiran pelabur institusi domestik yang besar, katanya.
Sektor perbankan, insurans dan takaful di Malaysia kekal berdaya tahan dan disokong oleh tahap permodalan yang tinggi.
Keadaan pendanaan dan mudah tunai terus menggalakkan, dengan nisbah pinjaman kepada dana dan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai untuk sistem perbankan masing-masing pada tahap 84 peratus dan 132 peratus pada akhir bulan Januari 2018.
Malah, pengantaraan kewangan domestik dijangka terus menyokong aktiviti ekonomi.
Dari segi hubungan kewangan peringkat makro, risiko daripada pendedahan kepada isi rumah terhadap kestabilan kewangan domestik adalah rendah.
Keupayaan membayar balik hutang bagi isi rumah kekal utuh dalam keadaan tahap pinjaman terjejas nilai yang rendah, disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan pekerjaan yang lebih kukuh.
Aset kewangan isi rumah berada pada tahap yang tinggi dan berkembang dengan lebih cepat daripada hutang pada akhir Disember 2017.
Bank Negara Malaysia berkata, bagi korporat di Malaysia, leveraj secara agregat meningkat seiring dengan aktiviti pelaburan.
Hutang berisiko pula lebih rendah dalam keadaan kewangan sektor korporat yang terus kukuh dan tahap pinjaman terjejas nilai yang rendah.
Prospek kredit keseluruhan bagi sektor perniagaan dijangka bertambah baik dengan keadaan ekonomi yang menggalakkan, meskipun sektor minyak dan gas serta sektor yang berkaitan dengan harta tanah masih menghadapi cabaran.
Potensi mudah terjejas daripada peminjaman luar negeri oleh korporat di Malaysia terkawal dengan pendedahan yang sebahagian besarnya dilindung nilai dan terdiri daripada peminjaman intrasyarikat dengan tempoh matang yang lebih panjang.
Dalam pasaran harta tanah, akses kepada pembiayaan perumahan, terutamanya untuk pembeli pertama kali rumah mampu milik, kekal mampan dengan kadar kelulusan sebanyak 73 peratus.
Tambahnya, FSC akan terus memantau lebihan bekalan dalam segmen harta kediaman bangunan tinggi mewah, ruang pejabat dan kompleks membeli-belah. Pihak bank juga turut berhati-hati dalam memberi pinjaman kepada segmen ini.
FSC juga bersetuju bahawa dasar kehematan makro yang sedia ada tetap sesuai untuk menangani keadaan mudah terjejas daripada saling hubungan kewangan peringkat makro.
Prospek kestabilan kewangan domestik pada tahun 2018 dijangka kekal utuh.
Ujian tekanan kesolvenan berbilang tahun yang dijalankan oleh Bank mengesahkan keupayaan mantap bank-bank serta penanggung insurans dan pengendali takaful di Malaysia untuk menghadapi tekanan makroekonomi dan kewangan.
Permodalan keseluruhan dijangka terus berada di atas paras keperluan minimum pengawalseliaan di bawah kejutan khusus untuk kredit, pasaran dan kejutan khusus insurans yang teruk yang setara dengan pengalaman krisis domestik dan global yang lalu.
Ini mencerminkan pengukuhan kedudukan kewangan isi rumah dan perniagaan yang berterusan dalam keadaan ekonomi yang bertambah baik.
Meskipun begitu, FSC tetap berwaspada terhadap risiko daripada ancaman keselamatan siber, skim kewangan haram dan perkembangan amalan pasaran untuk meningkatkan keyakinan orang ramai dan memastikan sistem kewangan Malaysia beroperasi dengan lancar.
Bank-bank terus menjalankan pelbagai langkah untuk memperkukuh pertahanan mereka terhadap ancaman siber dan meningkatkan pengawasan ke atas akaun yang berpotensi digunakan untuk mengendali skim kewangan haram. – MalaysiaGazette