Home Dunia Bekas presiden Brazil diberi tempoh serah diri

Bekas presiden Brazil diberi tempoh serah diri

Luiz Inácio Lula da Silva. foto Agensi

SAO PAULO – Hakim Persekutuan Brazil mengarahkan bekas Presiden Luiz Inácio Lula da Silva untuk menyerahkan diri kepada pihak berkuasa pada petang Jumaat untuk memulakan hukuman penjara 12 tahun atas sabitan rasuah.

Waran itu dikeluarkan beberapa jam selepas mahkamah tertinggi negara tersebut menolak tawaran da Silva untuk kekal bebas sementara terhadap sabitan itu dipertimbangkan.

Hakim persekutuan, Sérgio Moro berkata, da Silva akan ditempatkan di sel khusus, di luar populasi penjara umum, mengambil kira “kedudukan dipegang”.

da Silva akan dibenarkan menyerahkan diri kepada polis Persekutuan di bandar selatan Curitiba, tempat perbicaraannya diadakan, kata Hakim Moro.

Beliau diberi tempoh untk menyerah diri sehingga pukul 5 petang Jumaat.

da Silva dari Parti Pekerja yang tetap menentang keputusan itu berikrar akan terus bertanding untuk penggal ketiga pada bulan Oktober walaupun Mahkamah Persekutuan membuat keputusan beliau tidak boleh kekal bebas sementara menunggu rayuan.

Presiden Parti Pekerja, Senator Gleisi Hoffmann pula berkata, da Silva tidak menyerah pada usahanya untuk kembali ke Pejabat Presiden.

“Lula tetap menjadi calon kami, pertama sekali kerana dia tidak bersalah. Jika dia dipenjarakan, kami akan mempertimbangkannya sebagai tahanan politik dan kami akan berada di sisinya.” – MalaysiaGazette