Home Nasional Bak kut teh buka puasa, Vivian didenda RM5,000

Bak kut teh buka puasa, Vivian didenda RM5,000

KUALA LUMPUR – Seorang wanita didenda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman sosial Facebook yang mempersendakan umat Islam dan bulan Ramadan pada tahun 2013.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Abd Razak selepas mengenepikan hukuman penjara lima bulan, 22 hari terhadap Vivian Lee oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Lee adalah bekas teman wanita blogger, Alvin Tan.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Mohd Sofian berkata, beliau telah melihat kes-kes hasutan terdahulu dan berpendapat bahawa keadilan berlaku jika tertuduh didenda RM5,000 dan bukannya dipenjarakan.

Hakim Mohd Sofian berkata, Hakim Mahkamah Sesyen adalah betul ketika mendapati perayu bersalah tetapi beliau mengambil kira kes berkenaan telah berlaku pada tahun 2013.

Alvin dan Vivian Lee didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook ‘Alvin and Vivian-Alvivi’ di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers mengikut Akta Hasutan 1948.

Mengikut pertuduhan, ia mengandungi gambar dan komen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan!!!)’ yang mengandungi logo halal.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 11 dan 12 Julai tahun lalu di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lee telah didakwa bersama Tan yang kemudian melarikan diri ke Amerika Syarikat pada tahun 2014. – MalaysiaGazette