Home Ekonomi ECRL pemangkin pembangunan luar bandar Pantai Timur

ECRL pemangkin pembangunan luar bandar Pantai Timur

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Kelang, Pahang, Terengganu dan Kelantan akan menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi di kawasan luar bandar di Pantai Timur.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman berkata, projek itu akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan projek-projek signifikan seperti Lembah Silika Terengganu (TSV).

TSV dirancang untuk menjadi lembah silika pertama dunia dan Hab Teknologi Terengganu (TTH), pusat budaya dan kreatif pertama yang merangsang pertumbuhan simbiotik antara budaya dan teknologi.

Lembah silika itu dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 3 Mac lalu akan membuka peluang sebanyak 7,200 pekerjaan kepada penduduk tempatan dan mampu menghasilkan silika bersaiz sederhana berasaskan bahan-bahan material.

MIDA adalah sebahagian daripada agen perubahan (game changer) melalui Pasukan Petugas Khasnya yang dibentuk pada akhir tahun 2017.

Pasukan Petugas Khas itu sedang berada pada andasan untuk mencadangkan strategi dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan untuk 5 tahun akan datang.

“Terdapat banyak pembangunan menarik berlaku di Terengganu yang baik untuk perniagaan dan peluang pekerjaan.

“ECRL, TSV, TTH, Tahun Melawat Terengganu 2018 dan pembaharuan Taman Ilmu di Tembila akan merangsang modal insan di negeri ini,” katanya di Siri Pelaburan MIDA di Kuala Terengganu di sini hari ini.

MIDA juga telah menubuhkan meja penyelidikan mengenai rantaian nilai silika dan kuarza untuk mengenal pasti jurang dalam ekosistem dan mewujudkan peluang pembangunan kelompok industri yang kukuh dan komprehensif ke arah aktiviti hiliran yang lebih tinggi.

Ini akan memberi peluang kepada pemain utama dalam kimia, elektrik & elektronik, logam, teknologi hijau, kaca dan industri bukan logam.

Sehingga Disember tahun lalu, Terengganu merekodkan pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan dengan kebanyakan projek adalah dari sumber domestik dengan jumlah RM20.4 bilion atau 60 peratus dan bakinya dari sumber-sumber asing.

Projek-projek ini mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan, khususnya dalam gas asli, produk-produk petroleum, produk asas keluli, produk getah dan industri perkakasan pengangkutan. – MalaysiaGazette