Home Politik Fuziah tiada isu, Kuantan bukan lagi kubu kuat PKR

Fuziah tiada isu, Kuantan bukan lagi kubu kuat PKR

Andrew Wong (dua kanan) beramah mesra dengan penduduk pada Program Saringan Kesihatan di Taman Zurina, Kampung Jawa, Kuantan. foto SYAFIQ AMBAK, 29 APRIL 2018

KUANTAN – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuantan yakin kawasan itu bukan lagi kubu kuat buat pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Datuk Andrew Wong berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan pada hari penamaan calon semalam kepada BN yang cukup luar biasa dengan sokongan ramai penyokongnya.

Beliau menegaskan senario terbaharu itu merupakan peluang keemasan buat BN untuk merampas Parlimen Kuantan yang dipegang selama dua penggal oleh penyandang, Fuziah Salleh.

“Kalau tengok masa hari penamaan calon semalam, saya yakin BN mampu merampas Parlimen Kuantan semula.

“Lagipun sokongan ke atas PKR nampak berkurangan dan ini peluang keemasan untuk menang dan yang penting kerjasama semua parti komponen BN secara bersepadu,” katanya.

Andrew ditemui pada Program Saringan Kesihatan di Taman Zurina, Kg Jawa di sini hari ini.

Pada PRU14 ini, Parlimen Kuantan menyaksikan pertembungan antara Fuziah, Andrew dan calon Pas, Sulaiman Mat Derus.

Andrew yang terkenal dengan program kebajikan di Kuantan menambah, pengundi kini sudah sedar pemimpin pembangkang tidak boleh berbuat apa kerana mereka bukan dalam sistem pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Ini jelas beliau menyebabkan Fuziah berdepan banyak kekangan sumber kewangan sekaligus untuk memberi perkhidmatan terbaik.

“Kalau ada masalah rakyat pun mereka tidak boleh selesai sebab mereka pembangkang.

“Jadi pengundi sudah sedar kepentingan wakil rakyat dari kerajaan persekutuan yang boleh mengguna sistem sumber kewangan menerusi bantuan agensi-agensi kerajaan,” katanya.

Ditanya isu yang bakal dibawa Fuziah sepanjang tempoh berkempen ini, Andrew berkata, pemimpin PKR itu akan kitar semula isu lama iaitu projek Lynas.

Jelasnya, isu alam sekitar itu sudah 10 tahun berlalu dan pengundi sudah sedar ia tidak memberi kesan dan kakitangan Lynas kekal sihat hingga ke hari ini.

“Kalau bawa juga isu projek Lynas, pembangkang gemar main wayang namun pengundi Kuantan sudah bijak menilainya,” katanya. – MalaysiaGazette