Dr. Wan Mansor Hamzah
Kenyataan JKNPP menyangkal dakwaan mangsa kemalangan meninggal dunia akibat lewat merawat di Hospital Seberang Jaya.

BUTTERWORTH – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyangkal dakwaan netizen bahawa Hospital Seberang Jaya lambat merawat seorang anggota polis yang terlibat kemalangan menyebabkan beliau meninggal dunia.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah berkata, tidak berlaku kelewatan dalam pengendalian rawatan kecemasan kepada anggota polis itu oleh Hosptal Seberang Jaya.

“Pihak JKNPP menyangkal dakwaan ini sekeras-kerasnya dan ingin menyatakan bahawa rawatan mengikut prosedur yang ditetapkan telah diberikan kepada mendiang.

“Untuk makluman pada 22 April 2018, Pusat Medical Emergency Call Centre (MECC) menerima panggilan mengenai insiden kemalangan melibatkan mendiang pukul 4.10 petang dan ambulans tiba di lokasi 4.20 petang sebelum ambulans tiba dengan mangsa ke Jabatan Kecemasan HSJ pukul 4.30 petang untuk rawatan selanjutnya.

“Pemeriksaan awal termasuk rawatan kecemasan sewajarnya telah diberikan serta merta kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Rakaman video yang dimuatnaik dalam laman Facebook ‘Malaysia Tamil Kural’ bertarikh 30 April lalu menunjukkan seorang anggota polis lelaki terlibat dalam kemalangan jalan raya dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya pada 22 April lalu.

Malaysia Tamilar Kural mendakwa kelewatan kecemasan mengakibatkan mangsa meninggal dunia semalam.

Tambah beliau, ujian darah, imbasan sinar-X dan imbasan CT otak dan tulang belakang pula dijalankan pada pukul 5.10 petang dan imbasan MRI pada pukul 8.15 malam.

Ujar beliau, rawatan resusitasi yang diperlukan mangsa telah diberi dan beliau turut dirujuk serta diperiksa pasukan pakar berkaitan.

“Oleh itu dakwaan bahawa tiada rawatan diberikan sehingga 4 jam selepas mendiang berada di jabatan kecemasan adalah tidak benar sama sekali,” ujar beliau.

Wan Mansor berkata, memandangkan ia adalah kes kecemasan, rawatan diberikan tanpa meminta sebarang bayaran walaupun waris tidak berada di Jabatan Kecemasan ketika itu.

Katanya, hanya selepas keluarga pesakit tiba ke hospital mereka diminta menguruskan protokol pengurusan kemasukan ke hospital namun pada masa sama banyak rawatan telah diberi dan masih berjalan untuk pesakit itu.

“Mendiang telah mengalami kecederaan serius pada tulang belakang dan saraf tunjang yang mana beliau telah juga dirujuk kepada pasukan pakar ortopedik dan pasukan pakar pembedahan.

“Pihak JKNPP juga ingin menyatakan sebarang ujian dan rawatan kecemasan yang diperlukan pesakit tidak pernah diberhentikan atau dilewatkan seperti yang dilaporkan.

“Pihak jabatan amat berharap mana-mana pihak yang terlibat supaya lebih berhati-hati dalam membuat laporan dan mengeluarkan komen dengan penuh bertanggungjawab,” katanya.

Tambah beliau, tindakan mengeluarkan maklumat yang tidak tepat dan kenyataan yang tidak berasas boleh mengakibatkan salah faham dan boleh menggugat keharmonian.

“KKM dan JKNPP juga sememangnya menghargai nyawa dan berusaha sehabis baik untuk merawat sebarang pesakit tanpa mengira latar belakang mahupun status kewarganegaraan.

“Sebarang maklumat lanjut mengenai perkara ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa oleh pihak jabatan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast