Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media mengenai majlis presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 MEI 2018
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media mengenai majlis presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 MEI 2018

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) secara rasminya telah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sijil pendaftaran gabungan empat parti itu ditandatangani sendiri oleh Ketua Pengarah RoS, Suriyati Ibrahim.

“Saya ingin beritahu kepada seluruh dunia bahawa PH adalah sebuah parti yang telah berdaftar dengan RoS.

“Sijil pendaftaran PH ditandatangan oleh Suriyati Ibrahim, orang yang tak mau kita dulu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden PH di bangunan Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Sebelum ini pendaftaran PH tidak diluluskan RoS disebabkan masalah dalaman dua parti komponennya, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pada 24 Julai 2017, PH mengemukakan permohonan pendaftarannya kepada RoS secara atas talian, dan mengemukakan barisan kepimpinan, logo dan perlembagaannya.

Beberapa hari kemudian, RoS menasihatkan gabungan itu meminda logonya kerana tidak terdapat nama penuh, sebaliknya hanya “Harapan”.

Gabungan empat parti dianggotai PKR, DAP, PPBM dan PAN itu merancang bertanding di bawah satu simbol pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – MalaysiaGazette