Bung Mokhtar Radin
Bung Mokhtar Radin

KUALA LUMPUR – Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang tidak menyumbang lebih elok keluar daripada terus menjadi liabiliti, kata Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menyifatkan parti UMNO masih kuat sebagai tulang belakang kepada BN dan parti komponen yang tidak menyumbang adalah lebih baik sahaja mereka keluar.

“UMNO masih kuat dibawah akar umbi, tulang belakang BN… Kita boleh lihat parti lain tidak menyumbang apa apa, jadi apa point mereka kekal dengan kita?

“Lagi baik mereka tinggalkan BN seawal mungkin supaya kita tidak ada musuh dalam selimut. Walaupun kita pasukan kecil, selagi kita kuat akan bantu kemenangan parti,” kata beliau semasa ditemui selepas mesyuarat UMNO di sini hari ini.

Jelas Bung Mokhtar, ia tidak bermaksud beliau menghalau mana-mana parti untuk keluar BN namun jika mahu keluar ia dialu-alukan sama sekali.

Terdahulu awal hari ini, Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas mengumumkan partinya akan bergerak sendiri selepas tidak diperlukan BN dalam pilihan raya umum lalu.

Selain itu, MIC dan MCA juga mengumumkan akan mengkaji semula kedudukan mereka dalam BN selepas mengalami kekalahan teruk apabila semua tempat ditandingi Presiden mereka tewas semasa pilihan raya umum baru-baru ini. – MalaysiaGazette