KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini meminta Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) melakukan siasatan rapi tentang kematian enam gajah pygmy Borneo yang berlaku dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata jabatan itu juga perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak berlaku lebih banyak kejadian serupa yang mengancam nyawa hidupan liar serta membuat kajian tentang konflik manusia-gajah dan isu lain, termasuk aktiviti pemburu haram.

“Saya mengambil maklum daripada laporan berita bahawa punca kematian gajah ini sejak awal April dan 20 Mei, masih belum dikenal pasti.

“Kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) komited untuk menjaga dan memulihara hidupan liar serta sumber asli Sabah dan tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana kumpulan.

“Saya tidak mahu mendengar cakap semata-mata. Saya ingin melihat rancangan pemuliharaan secara jangka pendek dan jangka panjang disusun untuk dilaksanakan dengan pantas,” katanya dalam kenyataan di sini.-BERNAMA