Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor perkenan dengan keputusan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menerima jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin akan kekal memegang jawatan Menteri Besar Selangor buat sementara waktu sehingga tempoh peralihan kuasa kepada menteri besar yang baharu dijalankan dengan lancar dan teratur.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pada masa sama Mohamed Azmin perlu mengemukakan senarai calon-calon Menteri Besar Selangor yang baharu untuk penelitian dan perkenan Sultan Selangor sebelum lantikan dilakukan.

“Sultan Selangor telah disembah maklum oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa beliau telah bersetuju menerima jawatan menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan selepas mendapat penjelasan dan pengesahan daripada Perdana Menteri tentang skop kerja dan bidang kuasa kementerian yang baharu.

“Mohamed Azmin akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor sebaik sahaja Sultan Selangor berkenan melantik menteri besar baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, proses itu adalah selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette