ADUN Tambun Tulang, Ismail Kassim.
ADUN Tambun Tulang, Ismail Kassim.

KUALA LUMPUR – Datuk Ismail Kassim merafak sembah merayu agar Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk tidak melantik dirinya atau Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang itu, Tuanku Syed Sirajuddin boleh memilih lapan lagi ADUN Barisan Nasional (BN) yang lain memegang jawatan itu.

“Kita merayu tuanku untuk memberi pertimbangan terakhir kepada kami semua, bukan Ismail Kassim bukan Azlan Man selain daripada itu, lapan daripada ini (ADUN lain).

“Saya cadang lapan daripada kawan saya, tak ada masalah nak pimpin negeri walaupun orang baru tapi asalkan bukan saya dan Azlan Man,” katanya dipetik daripada laporan Malaysiakini malam ini.

Ismail membuat kenyataan itu dalam satu media di Hotel Seri Pacific bersama lapan ADUN yang lain lewat malam tadi.

Beliau berbuat demikian beberapa jam selepas abangnya yang juga Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencalonkan nama beliau selaku Menteri Besar Perlis.

Katanya lagi, sekiranya melantik akan daripada lapan lagi ADUN BN di negeri itu maka keadaan politik di negeri itu mungkin boleh diperbetulkan.

“Saya tak mahu dikatakan gila kuasa, saya tak mahu arwah bapa saya dalam kubur tersentak-sentak dengan perbuatan yang tak berkhemah di permukaan muka bumi, saya tak mahu macam itu demi untuk ayah saya,” katanya.

Datuk Seri Azlan Man menerima watikah pelantikan dari Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Datuk Seri Azlan Man menerima watikah pelantikan dari Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Awal hari ini Azlan selesai mengangkat sumpah selaku Menteri Besar Perlis buat kali kedua, namun Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka dengan tindakan sembilan ADUN BN yang tidak menghadiri istiadat angkat sumpah jawatan itu. -MalaysiaGazette

Shahidan rayu Tun Mahathir, Sultan Nazrin selesai isu MB Perlis