PULAU PINANG – Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang, Marzuki Yahya akan memfailkan petisyen di mahkamah bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) minggu depan.

Menurut Marzuki, petisyen itu akan difailkan berikutan kekalahan tipis beliau iaitu hanya 81 ketika bertanding kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU-14 lalu.

Tambahnya, petisyen itu dijangka diserahkan kepada mahkamah selepas satu perbincangan lanjut diadakan hari ini.

Jelas beliau, keputusan itu diambil selepas berasakan tidak diberikan hak untuk membuat kiraan semula meskipun kekalahannya di bawah empat peratus seperti disyaratkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu hanya 0.15 peratus.

“Saya yakin ada keraguan yang amat berat dalam hal ini dan boleh menang jika kiraan semula dibuat, sebab itu saya akan memfailkan petisyen ke mahkamah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada PRU-14 lalu, Marzuki yang bertanding atas tiket PKR tewas hanya 81 undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shabudin Yahaya.

Beliau mendapat 18,466 undi berbanding Shabudin (18,547) manakala calon Pas, Rizal Hafiz Ruslan memperoleh 14,891 undi.

Sementara itu, Marzuki mendakwa PPBM negeri ini sehingga kini sudah menerima kemasukan kira-kira 10,000 ahli baharu dengan majoritinya merupakan ahli UMNO.

Kata beliau, pihaknya juga sentiasa terbuka menerima mana-mana pihak khususnya orang Melayu untuk menyertai parti itu pada masa depan selagi mematuhi peraturan yang ditetapkan parti.