Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu kali ini.
Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu kali ini.

Katanya beliau membuat keputusan itu kerana memandang serius suara lantang daripada rakyat yang mahu melihat perubahan dan pembaharuan dalam UMNO.

Beliau berkata, justeru  masanya sudah tiba untuk Wanita UMNO diketuai oleh seorang Ketua Wanita baru yang mampu membawa cara dan idea baru yang mampu mendapat sokongan bukan hanya daripada ahli Wanita UMNO tetapi juga mendapat sokongan rakyat.

Shahrizat percaya, Wanita UMNO mempunyai ramai pemimpin yang berpotensi terdiri daripada mereka yang berpengalaman mahupun mereka yang muda dan bertenaga.

“Saya yakin jika mereka diberi peluang untuk memimpin Wanita UMNO, mereka akan menjalankan tugas dengan baik terutamanya untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat exco Pergerakan Wanita UMNO di sini.

Shahrizat juga menyeru semua ahli Wanita UMNO terutama di peringkat akar umbi agar mengekalkan semangat perjuangan selaku tulang belakang dalam parti.

Seorang pemimpin, katanya, sebenarnya diuji semasa menghadapi krisis sama ada untuk mempraktiskan kebijaksanaan, menghadapi realiti, membawa perubahan, berkorban mahupun menguatkan semangat untuk meneruskan perjuangan.

“Sebagai Ibu Terbaik Bangsa, walau di mana jua kita berada, Wanita UMNO mesti meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa, negara dan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat yang berbilang kaum,” katanya.

Beliau juga memohon ampun dan maaf jika terkasar bahasa dan tersilap langkah sepanjang menjalankan tugas selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia.

“Terima kasih atas peluang, kepercayaan dan kesetiaan lebih 1.3 juta ahli Wanita UMNO kepada kepimpinan saya selama ini.

“Saya amat menghargainya. Sokongan dan perpaduan ahli Wanita UMNO lah yang memungkinkan saya menjalankan tanggungjawab dan tugas yang telah diamanahkan. Saya berdoa semoga Malaysia dan rakyatnya terus selamat sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette