Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 JUN 2018.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Tiada perbincangan berhubung cadangan pembubaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) hari ini, kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata mesyuarat yang berlangsung 90 minit itu hanya menyentuh penerangan berhubung tafsiran ayat-ayat al-Quran dan hadis berkaitan suasana masyarakat masa kini dan negara.

“Tiada (perbincangan mengenai JAKIM). Bahkan, saya pegang apa yang Tun (Dr Mahathir Mohamad) nyatakan semalam bahawa isunya bukan membubarkan (JAKIM), ia mengenai peranan dan juga bagaimana mengemas kini atau memperkasakannya,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat bersama CEP di Menara Ilham, di sini.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata peranan JAKIM akan dibincangkan semula dengan mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam serta cendekiawan lain untuk membincangkan masa depan jabatan itu.

Dr Mahathir berkata langkah tersebut adalah bagi melihat semula peranan badan berkenaan sama ada perlu dikekalkan seperti sekarang, atau dikembalikan kepada tujuan asal ia ditubuhkan dulu.

Mesyuarat CEP hari ini turut memanggil pakar dalam bidang masing-masing seperti Prof Datuk Dr Raduan Che Rose mewakili Majlis Profesor Negara, Tan Sri Dr Yahya Awang (perubatan) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin (penggiat seni).

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast